LINDA meletakkan gagang telefon. dia semakin kecut perut. Sambil menjeling jam di tangan, Linda berdoa agar Kashfullah segera sampai.
“Linda!”
“Ya, Dato’!” Linda menyahut, berlari-lari anak ke dalam bilik pejabat. Dilihatnya Dato’ Amir Jamaluddin sedang berdiri di tengah-tengah bilik pejabat dengan bercekak pinggang.
Termengah-mengah Linda kerana terpaksa berlari. Haruman yang dipakainya pagi tadi telah mula bertukar aroma.
“Apa kena awak ni? Mana Cash? Kalau semua orang macam awak, boleh lingkup syarikat saya ni!” jerkah Dato’ Amir Jamaluddin. Menghambur air liur dari mulutnya yang terbuka luas.
Rambut Linda yang tersisir kemas habis ditimpa tempias dari mulut Dato’ Amir Jamaluddin.
“Maaf… Dato’. Saya dah interkom dia. Lima minit lagi dia sampailah,” terang Linda. Linda mengelus rambutnya yang kini berbau masam. Pintu pejabat yang terbuka direnung panjang. Kemunculan Kashfullah di pintu itu amat dinantikan.
“Lima minit? Tak apa. Saya tunggu.” Mendengar kata-kata Linda, angin Dato’ Amir Jamaluddin beransur baik. Nada suaranya menurun.
Linda mengerut dahi. Hairan. Kepalanya sakit kerana terpaksa melayan kerenah kepala angin Dato’ Amir Jamaluddin yang asyik berubah.
“Linda…” panggil Dato’ Amir Jamaluddin, suaranya kini lembut.
“Ada apa Dato?” Berhati-hati Linda menjawab. Hatinya teragak-agak. Dia memandang majikannya seperti menanti bom jangka. Bila-bila masa sahaja, Dato’ Amir Jamaluddin boleh meletup.
“Bumi Raya Holdings tadi tu… tak payah buat dulu. Sekarang… awak pergi buat satu salinan dokumen ni?” pinta Dato’ Amir Jamaluddin, separuh memujuk. Dihulurkan beberapa helaian dokumen untuk dibuat salinan fotokopi.
“Ada apa-apa lagi… Dato’?” tanya Linda, menahan geram. Dokumen itu disambut antara hendak dengan tidak. Menyampah rasanya bila dimarahi tanpa sebab. Sebentar tadi Dato’ Amir Jamaluddin beria-ia menyuruh Linda mendraf surat. Kemudian, begitu mudah lelaki itu mengubah fikiran.
“Tak ada. Itu aja. Awak boleh pergi,” beritahu Dato’ Amir Jamaluddin, masih berlembut. Sempat dia menghadiahkan sekuntum senyuman tipis kepada Linda.
Linda meninggalkan bilik Dato’ Amir Jamaluddin dengan memicit dahinya yang berkerut. Sebaik mendapat kesempatan dia mencemik geram.
“Tak ada… itu aja. Awak boleh pergi,” ajuk Linda menggayakan cara percakapan Dato’ Amir Jamaluddin. Dia bercekak pinggang. Bibirnya sengaja dicebik-cebik.
Di dalam bilik, Dato’ Amir Jamaluddin melabuhkan punggung ke atas kerusi. Kandungan fail Bumi Raya Holdings dibelek-belek. Ada beberapa perkara yang ingin dirujuk sebelum berjumpa Bardigo tengahari nanti. Setelah menjumpai apa yang dihajati, Dato’ Amir Jamaluddin memulakan tugasnya.
Belum panas kerusi yang diduduki Dato’ Amir Jamaluddin, kedengaran bunyi ketukan di pintu. Dato’ Amir Jamaluddin mengarah pandangannya ke situ.
Daun pintu terbuka. Muncul wajah Kashfullah di sebalik pintu itu.
“Ha… Cash! Masuklah. I’ve been waiting for you,” kata Dato’ Amir Jamaluddin sambil ketawa kecil. Dato’ Amir Jamaluddin bangkit dari tempat duduknya. Lambat-lambat, Kashfullah dihampiri.
“Minta maaflah… Dato’. Lambat sikit sampai. Ada hal sikit pagi ni.” Kashfullah mencipta alasan. Itu pun dilakukannya hanya untuk mengambil hati.
“Tak kisahlah. Yang penting sekarang, I nak bincang dengan you pasal satu hal. This is important. It’s about… Bumi Raya Holdings.” Dato’ Amir Jamaluddin berkata satu-persatu. Direnungnya seraut wajah Kashfullah yang kacak itu.
“Bumi Raya Holdings?” Kashfullah sengaja mengerutkan dahinya seolah-olah berfikir. Padahal Bumi Raya Holdings adalah perkara yang sudah berumahtangga dalam fikirannya sejak akhir-akhir ini.
Dato’ Amir Jamaluddin mengangguk, mengiakan pertanyaan Kashfullah.
“You ingat tak pelunjuran keuntungan yang I requested from you? What are your findings? Lebih tepat lagi, I nak tahu keuntungan sebenar yang bakal diperolehi daripada projek mega ni,” ujar Dato’ Amir Jamaluddin terus kepada fakta. Dia melabuhkan punggung di kerusi namun Kashfullah dibiarkan berdiri.
Kashfullah ketawa besar. Tanpa dipelawa, dia menarik kerusi lalu duduk. Dia memang faham benar dengan ketandusan budi-bahasa Dato’ Amir Jamaluddin. Jika ditunggu untuk dipelawa, alamat berdirilah dia sehingga ke akhir perbincangan.
Projek Bumi Raya Holdingslah sumber periuk nasi terbesar Garapan Padu setakat ini, Dato’…” kata Kashfullah, berterus-terang. Jari-jemarinya mengurut lembut dagunya yang bersih bercukur.
Kata-kata Kashfullah benar-benar menarik minat Dato’ Amir Jamaluddin. Dia mencapai sebatang pen yang terlentang di atas meja. Sehelai kertas kosong dibentang di hadapannya.
“Itu I tahu. Tapi… berapa banyak?” Terkebil-kebil mata Dato’ Amir Jamaluddin menanti penjelasan daripada Kashfullah yang kelihatan tenang.
“Dato’… keuntungan kita kali ini disasarkan tidak kurang daripada RM100 juta. Dan perolehan mampu dicapai seratus-peratus dalam masa yang cukup singkat,” beritahu Kashfullah. Dia mengangguk-angguk, yakin dengan pelunjuran yang telah dibuatnya.
“How long?” Dato’ Amir Jamaluddin membaringkan semula pen ke atas meja. Lelaki itu merasakan yang maklumat itu tidak perlu dicatat.
“Three months…”
Dato’ Amir Jamaluddin dan Kashfullah bertukar pandangan sejenak. Spontan, kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.
“Bertambah panjanglah langkah kita lepas ni!” Dato’ Amir Jamaluddin merenyuk kertas yang terbentang di hadapannya. Dilempar kertas renyuk itu ke mulut tong sampah yang ternganga luas.
“Well… that’s the way it should be!” sahut Kashfullah, girang.
Sejurus kemudian, Dato’ Amir Jamaluddin berhenti ketawa. Dia menarik nafas panjang, seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan. Direnungnya Kashfullah, tepat menjurus ke dalam anak mata. Tergambar betapa seriusnya perkara yang hendak disampaikannya.
“Sekarang, dah tiba masanya. Masa untuk kita bincangkan hal yang lebih penting!” Dato’ Amir Jamaluddin sengaja merenyuk sehelai lagi kertas kosong. Dilempar kertas itu ke mulut tong sampah. Balingan Dato’ Amir Jamaluddin tepat pada sasarannya.
“Hmmm…?” tanya Kashfullah, tidak faham.
“Sesuatu… yang lebih penting.” Dato’ Amir Jamaluddin membalas, merenung Kashfullah.
Renungan Dato’ Amir Jamaluddin bebenar-benar memeningkan kepala Kashfullah.
LINDA SEMAKIN KECUT PERUT.
Mac 22, 2007 oleh Miss Specialty