“SEMUANYA berjalan lancar, Dato’.” Suara Black kedengaran di telefon bimbit Dato’ Amir Jamaluddin.
Dato’ Amir Jamaluddin memberi isyarat lampu lalu masuk ke bahu jalan. Brek ditekan kuat. Kereta yang dipandu terhenjut sedikit sebelum berhenti.
“Awak perhatikan dia. Jangan bagi dia lari.” Dato’ Amir Jamaluddin memberi arahan. Sisa-sisa kemarahan masih kedengaran dalam buah tutur lelaki itu. Kunci kereta dipulas ke kiri untuk mematikan enjin.
Sepanjang perjalanan ke pejabat, hati Dato’ Amir Jamaluddin tidak senang. Akhirnya dia telah memberhentikan keretanya untuk membuat panggilan kepada Black. Dato’ Amir Jamaluddin mahu mempastikan yang Ismi Safeya tidak membuat hal.
“Dah tentu, Dato’!” balas Black, bersemangat. Memang sejak awal pagi tadi Black tidak berganjak dari halaman rumah. Dia begitu setia mengawal pergerakan Ismi Safeya, sepertimana yang diarahkan oleh Dato’ Amir Jamaluddin. Bangku batu yang didudukinya kini sehangat suhu badannya.
“Hah… dia tengah buat apa?” Dato’ Amir Jamaluddin bertanya, masih tidak puas hati. Jika Ismi Safeya tidak dapat dipersembahkan kepada Bardigo malam nanti, punahlah harapan Dato’ Amir Jamaluddin untuk mentadbir Bumi Raya Holdings.
“Tengah mandi. Rasanya… dia nak keluar, Dato’. Tapi Dato’ jangan risau. Saya janji saya akan awasi dia,” kata Black memberi jaminan. Didongak kepalanya untuk meninjau tingkap bilik tidur Ismi Safeya. Perbuatannya itu seolah-olah dia mahu membuktikan kebenaran kata-katanya.
“Jangan risau, konon! Awak tak ingat semalam… di Megah Jaya? Pia nyaris kena tangkap gara-gara rantai tangan tak guna tu. Awak di mana masa tu!” Dato’ Amir Jamaluddin membentak. Wajahnya mulai berpeluh kepanasan. Perasaan marah Dato’ Amir Jamaluddin tiba-tiba menerjah kembali. Geram sungguh dia apabila memikirkan perkara yang terjadi kepada Ismi Safeya di Megah Jaya.
“Errr… saya janji, Dato’! Benda macam ni takkan berulang lagi. Saya dah pasangkan kamera. Pia takkan dapat buat apa-apa lagi.” Black memberi penjelasan agar Dato’ Amir Jamaluddin tidak terus memarahinya. Black tahu, jika Dato’ Amir Jamaluddin naik darah berbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Baik! Sekali ni aja saya bagi awak peluang. Lain kali saya tak mahu dengar lagi benda macam ni berlaku,” komen Dato’ Amir Jamaluddin memberi amaran.
Kini kemarahan Dato’ Amir Jamaluddin reda sedikit setelah mendengar penjelasan daripada Black. Dipandang sofa penumpang di sebelahnya. Terdapat senaskhah akhbar bertarikh semalam yang masih belum dibaca. Dato’ Amir Jamaluddin mengutip akhbar itu.
“Baik, Dato’…” balas Black, pendek. Hatinya lega kerana Dato’ Amir Jamaluddin tidak memarahinya lagi. Justeru itu, Black tidak mahu bercakap panjang. Dia takut sebarang percakapannya akan menimbulkan kemarahan yang lain pula kepada lelaki itu.
“Saya dah lambat. Ingat… jaga Pia baik-baik. Malam ini dia akan jadi penentu pada segala-galanya.” Tegas Dato’ Amir Jamaluddin mengingatkan. Akhbar di tangan dikipas-kipas ke muka. Terasa dingin dan nyaman apabila wajah kepanasan itu dimamah angina.
Black membuka mulut untuk menyatakan kesanggupannya. Namun, Dato’ Amir Jamaluddin telah memutuskan talian. Berfikir dalam diam, Black menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kocek.
“Orang tua tak sedar diri! Rumah kata pergi, kubur pun belum tentu nak terima jasad dia. Itu pun masih tak ingat nak insaf.” Hati Black menggerutu sehingga tanpa sedar bibirnya membebel.
Awal-awal lagi Black telah diberitahu tentang agenda terhadap Ismi Safeya yang telah diaturkan oleh Dato’ Amir Jamaluddin. Black memang arif benar dengan perangai Dato’ Amir Jamaluddin. Majikannya itu sanggup berbuat apa sahaja demi wang.
Menggeleng beberapa kali, Black tersenyum sinis. Lelaki itu mulai lenguh kerana terlalu lama duduk di bangku batu. Dia berjalan lambat-lambat menghampiri pintu rumah.
Black mendengar bunyi tapak kaki dari dalam rumah yang semakin menghampiri pintu. Lantas, lelaki itu bergerak semakin dekat ke hadapan.
Hanya dua orang yang sepatutnya muncul di sebalik daun pintu itu. Sama ada Ismi Safeya atau…
Pintu dibuka dari dalam. Terjengul wajah seorang wanita berdarah kacukan Inggeris dan Cina. Wanita itu berusia dalam lingkungan awal empat puluhan.
“Sandra?” Black menyapa sepatah. Tidak jadi dia meneruskan kata-katanya. Dahinya berkerut melihat riak wajah wanita itu.
Sandra hanya mengangguk. Direnungnya Black tan senyum.
Black membalas renungan Sandra seketika tanpa bersuara. Namun, kedua-duanya seolah-olah mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi. Dari renungan Black, Sandra mampu membaca persoalan yang tersirat di dalam hati lelaki itu.
“Dia nak balik kampung.” Akhirnya Sandra memberitahu Black.
Seperti tahu dirinya disebut-sebut, Ismi Safeya muncul di belakang Sandra. Ismi Safeya kelihatan ayu, lengkap berpakaian baju kurung berwarna ungu lembut. Di bahunya tersangkut sebuah tas tangan kecil.
“Black… boleh ya?” Ismi Safeya meminta simpati. Suaranya perlahan. Dia tahu Sandra pasti telah memberitahu Black niatnya untuk pulang ke kampung.
Mata Ismi Safeya yang bengkak kerana menangis kini dilindungi oleh solekan. Mata itu menanti penuh harap agar permintaannya ditunaikan oleh Black.
Black tidak mengendahkan permintaan Ismi Safeya. Sebaliknya dia merenung gadis itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Black akui, Ismi Safeya memang seorang gadis yang cantik.
Rambutnya hitam, lurus dan panjang mencecah ke paras bahu. Matanya bundar, beralis lentik. Bibir mongelnya tambah menggiurkan bila ditambah dengan sapuan gincu berwarna alami.
Pipinya gebu dan keseluruhan wajahnya nampak bersih dan segar dengan solekan sederhana. Sepasang anting-anting kecil di telinga menambah lagi keayuan wajahnya yang berkulit putih kuning.
“Sikit-sikit, balik kampung. Kalau Dato’ tahu, macam mana?” tekan Black. Dua perkara timbul serentak dalam mindanya. Dia tidak tahu yang mana satu harus diutamakan. Perasaan Ismi Safeya, atau kepentingan Dato’ Amir Jamaluddin?
“Tolonglah, Black. Saya nak jumpa mak. Dah lama saya tak balik. Saya rindu pada dia, Black…” pinta Ismi Safeya lagi. Suaranya hiba. Beg kecil yang dibawanya dipegang erat-erat.
“Takkan awak tak ingat? Malam ni… awak ada appointment!” bantah Black, mengerut dahi. Sengaja ditekan suaranya apabila menyebut appointment.
“I know…” Ismi Safeya menjawab perlahan lalu memandang ke bawah. Dia tidak mahu bertentang mata dengan Black. Ismi Safeya takut air matanya terhambur lagi.
“Habis, kenapa nak balik juga?” bentak Black, suaranya keras. Wajahnya dibengiskan. Black tahu dia tidak boleh memberi muka kepada Ismi Safeya.
“Saya nak balik sekejap aja. Saya dah kata tadi… saya nak jumpa mak saya. Takkan itu pun tak boleh!” Entah dari mana, Ismi Safeya mendapat kekuatan untuk membidas kata-kata Black.
Pertemuannya dengan Bardigo yang telah diatur malam itu membuatkan Ismi Safeya benar-benar tertekan. Dia perlukan ibunya pada saat itu.
Tersentap jantung Black mendengar jawapan Ismi Safeya. Black akui, sejak akhir-akhir ini Ismi Safeya semakin berani. Kedegilan Ismi Safeya itu sedikit-sebanyak membimbangkan hati lelaki itu.
Black merenung Ismi Safeya sambil berfikir. Dia menimbang-nimbang sama ada perlu atau tidak untuknya menurut kemahuan Ismi Safeya.
Mungkin pertemuan Ismi Safeya dengan ibunya akan memudahkan tugas Black malam nanti. Biarlah bagai menarik rambut di dalam tepung. Kedua-duanya wajib dikekalkan keharmoniannya. Berdasarkan itu, akhirnya Black mengalah. Dia mengangguk lambat-lambat.
“Boleh. Tapi sekejap aja. Ingat… malam ni penting untuk Dato’,” kata Black, sedikit berlembut. Segera pintu kereta dibuka . Black melabuhkan punggung lalu menghidiupkan enjin.
“Hmmm…” keluh Ismi Safeya, lemah. Dia tidak kuasa hendak berdebat lebih lanjut dengan Black. Dia melangkah menghampiri kereta. Pintu belakang dibuka. Tanpa berlengah, Ismi Safeya masuk. Tas tangan kecilnya diletak rapi di atas paha.
Black mengisyaratkan Sandra supaya turut masuk. Beberapa minit kemudian, kenderaan mewah yang dipandu Black kelihatan beredar menuju ke kampung halaman Ismi Safeya.
“SEMUANYA BERJALAN LANCAR, DATO’.”
Mac 21, 2007 oleh Miss Specialty