Feeds:
Kiriman
Komentar

 

DI LUAR bilik pejabat Dato’ Amir Jamaluddin, Linda kelihatan sedang menaip sesuatu di komputer.  Tumpuannya terjejas ketika mendengar bunyi derap tapak kasut Kashfullah.

Linda berhenti menaip.  Dia memandang ke arah Kashfullah yang sedang berjalan.

Kashfullah juga membalas pandangan Linda.  Mata lelakitu itu mengenyit.

Kenyitan berbalas.  Linda memberi isyarat kepada Kashfullah supaya beredar dan menunggu di pantry.

Kashfullah menurut.  Bersahaja, lelaki itu melangkah lambat-lambat menuju ke arah pantry.

Sejurus kemudian Linda menyusul.  Kedua-duanya mengambil mug untuk membancuh minuman.

“Linda…”  panggil Kashfullah dengan suaran yang menggoda.  Dia menekan punat air panas.  Di bawahnya, tersedia mug berisi serbuk kopi campuran segera.  Air panas diisi separuh penuh ke dalam mug.

“Apa?”  Linda membuka penutup bekas berisi uncang teh.  Teh lebih digemarinya berbanding kopi.

“Kalau projek Bumi Raya Holdings berjaya kita juga ada bahagian… tahu?”  Kashfullah mengambil sudu plastik dari dalam laci.  Dihulur sebilah kepada Linda.

“Apa maksud you?”  Linda mengambil sudu dari tangan Kashfullah.  Setelah membubuh gula dan krimmer, air panas dicurah ke dalam mug.  Air dikacau perlahan.

“Panjang ceritanya.  I beritahu you malam nanti, boleh?”  Kashfullah merenung wajah Linda, lama dan dalam.  Dituang separuh mug dengan air sejuk.  Air dikacau, kemudian diteguk sedikit.

Linda merenung sepasang mata dengan kening bertaut itu.  Mindanya membuat pertimbangan antara mahu dengan tidak.

“Kat mana?”  Kesudahannya Linda menjeling manja.  Dia melirik lagi pada mata penggoda bernama Kashfullah itu.  Air dalam mug di tangan langsung tidak berusik.

Apartment you?”  Kashfullah tersenyum meleret.  Matanya dikenyit lagi, nakal.

Diam-diam, Linda mengangguk.  Sekali-sekala, matanya mengimbau ke dalam.  Takut jika ada staf yang terdengar perbualan mereka.

“Jumpa malam nanti…”  bisik Kashfullah ke telinga Linda yang masih berdiri dengan mug di tangan.

Linda mengangguk, meneguk air buat kali pertama.  Dalam pada itu, lidahnya mengulum senyum.

Kashfullah menghabiskan minuman yang masih berbaki, lalu beredar meninggalkan Linda berseorangan di pantry.

Tidak lama kemudian, Linda juga meninggalkan pantry.  Dia kembali meneruskan tugasan yang terbengkalai sebentar tadi. 

KASHFULLAH membalas pandangan Dato’ Amir Jamaluddin. Dahinya dikerutkan. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh lelaki yang duduk di hadapannya itu.
Melihat kerut di kening Kashfullah semakin lebar, Dato’ Amir Jamaluddin tidak membuang masa. Dia segera menerangkan maksud sebenar yang ingin disampaikan.
“Sebenarnya… ada satu perkara yang belum selesai.” Dato’ Amir Jamaluddin mendakap tubuhnya sendiri. Dalam hati, lelaki itu berfikir. Mahukah Ismi Safeya menurut kata-katanya nanti?
“Perkara yang belum selesai?” Kashfullah tidak dapat menduga apa yang sedang bermain di fikiran Dato’ Amir Jamaluddin. Setahunya, perbincangan dengan Bardigo berjalan dengan lancar. Tidak tahu pula timbul masalah di saat-saat akhir.
“Hmmm… Bardigo kenakan kita syarat. Entah dari siapa dia dapat tahu tentang Pia. He wants her,” kata Dato’ Amir Jamaluddin, lambat-lambat. Dato’ Amir Jamaluddin memprotes dalam hati. Mengapa Bardigo tidak meminta perkara lain?
“Anak angkat Dato’ tu?” tanya Kashfullah, tersenyum sumbing. Dia sudah lama mengetahui status Ismi Safeya. Dato’ Amir Jamaluddin juga menyedari hakikat itu. Namun, perkara itu tidak pernah dibangkitkan antara mereka.
“Yes…” Dato’ Amir Jamaluddin mengangguk, mengiakan. Sebelah matanya dikenyit.
Kashfullah tersenyum penuh makna melihat kenyitan mata Dato’ Amir Jamaluddin. Kashfullah pun apa kurangnya? Sama sahaja perangai mereka berdua.
“Dato’ setuju?” tanya Kashfullah, seolah-olah dia tidak tahu perangai Dato’ Amir Jamaluddin.
“Of course! Tapi… masalahnya Pia. Dia dah mula pandai melawan cakap I. She’s a big problem to me now…” kata Dato’ Amir Jamaluddin. Dia mengeluh berat.
“Macam mana pun, Dato’ kena buat sampai Pia setuju! Takkan Dato’ nak biar peluang ni jatuh ke tangan orang lain? You have to do something about it!” pintas Kashfullah. Masalah seperti itu tidak boleh menjadi penghalang. Kashfullah tidak puas hati jika Dato’ Amir Jamaluddin menarik diri tanpa alasan yang kukuh.
“You jangan risau. I dah rancang semuanya. Walau apa yang terjadi, projek ni tetap akan jadi milik kita. We’ll see…” balas Dato’ Amir Jamaluddin, tegas.
Dari dalam laci di bawah meja, Dato’ Amir Jamaluddin mengeluarkan sebuah bekas platinum. Di dalamnya terdapat deretan rokok. Dato’ Amir Jamaluddin mengambil sepuntung daripada rokok itu dan mengepitnya di celah bibir.
Spontan, Kashfullah mengeluarkan pemetik api. Tanpa dipinta dia menolong menyalakan api rokok untuk Dato’ Amir Jamaludddin.
Dato’ Amir Jamaluddin menyedut dalam-dalam. Di wajahnya tergambar kepuasan dek sedutan aroma rokok tersebut. Dipelawanya sebatang rokok kepada Kashfullah.
Kashfullah tidak menolak. Seketika, suasana menjadi hening. Masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.
Kita berdua tahu, rokok ni pembunuh dalam senyap,” Dato’ Amir Jamaluddin bersuara. Namun, rokok itu masih terjepit kemas di celah bibirnya yang lebam.
Kashfullah tergelak. Dia tidak menyangka Dato’ Amir Jamaluddin prihatin juga tentang kesihatan.
“Definitely, Dato’. Rokok memang pembunuh nombor satu. Cuma kita aja yang tak sayang nyawa!” balas Kashfullah, ketawa.
“Tahu pun. Tapi… entah bila nak berhenti merokok!” sampuk Dato’ Amir Jamaludddin. Bekas rokok platinum disimpan semula ke bawah meja. Kashfullah menyambung tawa, sambil menggeleng kecil.
Tiba-tiba Dato’ Amir Jamaluddin bersuara, menukar topic perbualan. Wajahnya serius.
“I nak minta you buat sesuatu untuk I… boleh?” Dato’ Amir Jamaluddin mencapai bekas abu rokok yang berada di bucu meja. Puntung rokok diketuk perlahan. Abu rokok yang semakin memanjang, kini jatuh berderai ke dalam bekas.
“Dah tentu boleh. Apa gunanya kawan kalau nak minta tolong pun tak boleh?” jawab Kashfullah. Dia turut mengikut perbuatan Dato’ Amir Jamaludddin. Memenuhkan bekas abu rokok di hadapannya dengan sisa bahan tercemar.
“Pia… dia buat I pening kepala! Sekarang… cukup susah I nak kawal dia. Ada-ada aja benda yang dibuatnya. Semuanya buat I naik darah!” dengus Dato’ Amir Jamaluddin seperti sudah jemu.
“So… Dato’ nak I buat apa?” tanya Kashfullah. Dia memerhati Dato’ Amir Jamaluddin yang sedang menghembus asap beracun yang berkepul-kepul.
“I nak you upah seorang pengintip. I nak yang professional. Yang boleh buat kerja,” beritahu Dato’ Amir Jamaluddin sungguh-sungguh.
“No problem. Kalau Dato’ setuju, I’ll give him a call right now?” cadang Kashfullah. Dalam fikirannya sudah tergambar siapa yang akan dihubunginya.
“Tak apa. I percaya you boleh uruskan. I cuma nak tahu semuanya berjalan lancar. Itu aja.” Dato’ Amir Jamaluddin memberi komen. Kakinya disilang.
“Hmmm… boleh. Kalau macam tu, you serah aja pada I. I’ll know what to do,” balas Kashfullah lalu ketawa panjang. Gamat sebentar bilik pejabat Dato’ Amir Jamaludddin.
Dato’ Amir Jamaluddin tidak turut ketawa. Ada sesuatu yang masih bermain dalam fikirannya.
“Cash… bukan Pia aja, tau.” Suasana hening sebentar. Dato’ Amir Jamaluddin merenung keing berkerut Kashfullah.
“Siapa lagi?” Apa jua yang bermain dalam fikiran Dato’ Amir Jamaluddin, Kashfullah cuba meneka.
“Orang yang paling dekat dengan I, selain you.” Dato’ Amir Jamaluddin mengangkat kening. Kepala diangguk perlahan, seolah-olah membaca fikiran Kashfullah.
“Black?”
Dato’ Amir Jamaluddin mengangguk tanpa suara. Di wajahnya nampak sedikit kegusaran.
“Dato’ ada masalah dengan Black?” duga Kashfullah, hairan. Setahu Kashfullah, Black adalah seorang pekerja yang cukup setia kepada Dato’ Amir Jamaludddin.
Namun, kejujuran seseorang bukan hanya diukur dari kesetiaannya. Itu adalah kenyataan yang Kashfullah akui sendiri.
“Entahlah. I tak sedap hati. Mungkin mainan perasaan I aja. Mungkin juga… there’s something fishy gling on. Entahlah…” keluh Dato’ Amir Jamaluddin, perlahan. Dibuangnya puntung rokok yang tinggal separuh. Asapnya tiba-tiba menimbulkan sesak di dada.
“Tak ada masalah. I akan uruskan.” Kashfullah merenung wajah Dato’ Amir Jamaluddin yang masih gusar. Perlahan, ditepuk bahu rakan kongsinya itu.
“I ada kawan di Ampang. Di ni… tip-top! Very efficient.” Kashfullah tersenyum. Rokok yang disedut kini hanya tinggal puntungnya. Kashfullah menyedut buat kali terakhir sebelum membenam puntung itu ke dalam bekas abu.
Dato’ Amir Jamaluddin membalas senyuman. Dia percaya sepenuhnya terhadap Kashfullah. Perkara itu akan diserahkan bulat-bulat kepada rakan kongsinya itu.
“Cukup setakat ni dulu. Jangan lupa… lunch appointment dengan Bardigo. Hotel Seri Selasih, dua belas setengah tengahari. Tunggu kat sana nanti. I bawa kereta sendiri.” Dato’ Amir Jamaluddin mula berdiri. Kedua-dua tangannya diletak ke atas meja.
“Okay. I keluar dulu, Dato’?” Kashfullah segera meminta diri. Ada banyak lagi urusan pejabat yang perlu diselesaikan sebelum tengahari.
“Sure.”
Kashfullah berjalan menuju ke pintu. Langkah diatur dengan cermat.
Tangannya sedang memutar tombol pintu apabila Dato’ Amir Jamaluddin memanggilnya semula.
“Errr… Encik Kashfullah…”
Kashfullah berpaling. Dia memandang ke wajah Dato’ Amir Jamaludddin. Dahinya berkerut, hairan dengan panggilan ‘Encik’ berserta nama penuhnya sekali. Kashfullah cuba menduga sebabnya tetapi tiada sebarang idea yang muncul di fikirannya.
“I harap… rahsia ni hanya antara kita. Pandai makan… pandai simpan! Jangan sampai terbongkar, Cash…” pinta Dato’ Amir Jamaludddin. Tangannya diletak ke belakang. Bersungguh benar dia meletak harapan ke atas Kashfullah.
“Come on… I masih waras! Tak ada apa yang akan terbongkar. Semuanya tersimpan kemas dalam ni!” ujar Kashfullah, bangga. Ditepuk dadanya yang tegap.
“Thanks, Cash.”
Kashfullah mengangguk, tersenyum. Namun hatinya tertanya-tanya. Begitu besarkah masalah yang dihadapi sehingga Dato’ Amir Jamaluddin sanggup mengupah penyiasat persendirian?
Tidak mahu terbeban memikirkan masalah orang, Kashfullah segera beredar.
Dato’ Amir Jamaluddin merenung Kashfullah dari belakang ketika rakan kongsinya itu beredar meninggalkan bilik pejabatnya.

LINDA meletakkan gagang telefon. dia semakin kecut perut. Sambil menjeling jam di tangan, Linda berdoa agar Kashfullah segera sampai.
“Linda!”
“Ya, Dato’!” Linda menyahut, berlari-lari anak ke dalam bilik pejabat. Dilihatnya Dato’ Amir Jamaluddin sedang berdiri di tengah-tengah bilik pejabat dengan bercekak pinggang.
Termengah-mengah Linda kerana terpaksa berlari. Haruman yang dipakainya pagi tadi telah mula bertukar aroma.
“Apa kena awak ni? Mana Cash? Kalau semua orang macam awak, boleh lingkup syarikat saya ni!” jerkah Dato’ Amir Jamaluddin. Menghambur air liur dari mulutnya yang terbuka luas.
Rambut Linda yang tersisir kemas habis ditimpa tempias dari mulut Dato’ Amir Jamaluddin.
“Maaf… Dato’. Saya dah interkom dia. Lima minit lagi dia sampailah,” terang Linda. Linda mengelus rambutnya yang kini berbau masam. Pintu pejabat yang terbuka direnung panjang. Kemunculan Kashfullah di pintu itu amat dinantikan.
“Lima minit? Tak apa. Saya tunggu.” Mendengar kata-kata Linda, angin Dato’ Amir Jamaluddin beransur baik. Nada suaranya menurun.
Linda mengerut dahi. Hairan. Kepalanya sakit kerana terpaksa melayan kerenah kepala angin Dato’ Amir Jamaluddin yang asyik berubah.
“Linda…” panggil Dato’ Amir Jamaluddin, suaranya kini lembut.
“Ada apa Dato?” Berhati-hati Linda menjawab. Hatinya teragak-agak. Dia memandang majikannya seperti menanti bom jangka. Bila-bila masa sahaja, Dato’ Amir Jamaluddin boleh meletup.
“Bumi Raya Holdings tadi tu… tak payah buat dulu. Sekarang… awak pergi buat satu salinan dokumen ni?” pinta Dato’ Amir Jamaluddin, separuh memujuk. Dihulurkan beberapa helaian dokumen untuk dibuat salinan fotokopi.
“Ada apa-apa lagi… Dato’?” tanya Linda, menahan geram. Dokumen itu disambut antara hendak dengan tidak. Menyampah rasanya bila dimarahi tanpa sebab. Sebentar tadi Dato’ Amir Jamaluddin beria-ia menyuruh Linda mendraf surat. Kemudian, begitu mudah lelaki itu mengubah fikiran.
“Tak ada. Itu aja. Awak boleh pergi,” beritahu Dato’ Amir Jamaluddin, masih berlembut. Sempat dia menghadiahkan sekuntum senyuman tipis kepada Linda.
Linda meninggalkan bilik Dato’ Amir Jamaluddin dengan memicit dahinya yang berkerut. Sebaik mendapat kesempatan dia mencemik geram.
“Tak ada… itu aja. Awak boleh pergi,” ajuk Linda menggayakan cara percakapan Dato’ Amir Jamaluddin. Dia bercekak pinggang. Bibirnya sengaja dicebik-cebik.
Di dalam bilik, Dato’ Amir Jamaluddin melabuhkan punggung ke atas kerusi. Kandungan fail Bumi Raya Holdings dibelek-belek. Ada beberapa perkara yang ingin dirujuk sebelum berjumpa Bardigo tengahari nanti. Setelah menjumpai apa yang dihajati, Dato’ Amir Jamaluddin memulakan tugasnya.
Belum panas kerusi yang diduduki Dato’ Amir Jamaluddin, kedengaran bunyi ketukan di pintu. Dato’ Amir Jamaluddin mengarah pandangannya ke situ.
Daun pintu terbuka. Muncul wajah Kashfullah di sebalik pintu itu.
“Ha… Cash! Masuklah. I’ve been waiting for you,” kata Dato’ Amir Jamaluddin sambil ketawa kecil. Dato’ Amir Jamaluddin bangkit dari tempat duduknya. Lambat-lambat, Kashfullah dihampiri.
“Minta maaflah… Dato’. Lambat sikit sampai. Ada hal sikit pagi ni.” Kashfullah mencipta alasan. Itu pun dilakukannya hanya untuk mengambil hati.
“Tak kisahlah. Yang penting sekarang, I nak bincang dengan you pasal satu hal. This is important. It’s about… Bumi Raya Holdings.” Dato’ Amir Jamaluddin berkata satu-persatu. Direnungnya seraut wajah Kashfullah yang kacak itu.
“Bumi Raya Holdings?” Kashfullah sengaja mengerutkan dahinya seolah-olah berfikir. Padahal Bumi Raya Holdings adalah perkara yang sudah berumahtangga dalam fikirannya sejak akhir-akhir ini.
Dato’ Amir Jamaluddin mengangguk, mengiakan pertanyaan Kashfullah.
“You ingat tak pelunjuran keuntungan yang I requested from you? What are your findings? Lebih tepat lagi, I nak tahu keuntungan sebenar yang bakal diperolehi daripada projek mega ni,” ujar Dato’ Amir Jamaluddin terus kepada fakta. Dia melabuhkan punggung di kerusi namun Kashfullah dibiarkan berdiri.
Kashfullah ketawa besar. Tanpa dipelawa, dia menarik kerusi lalu duduk. Dia memang faham benar dengan ketandusan budi-bahasa Dato’ Amir Jamaluddin. Jika ditunggu untuk dipelawa, alamat berdirilah dia sehingga ke akhir perbincangan.
Projek Bumi Raya Holdingslah sumber periuk nasi terbesar Garapan Padu setakat ini, Dato’…” kata Kashfullah, berterus-terang. Jari-jemarinya mengurut lembut dagunya yang bersih bercukur.
Kata-kata Kashfullah benar-benar menarik minat Dato’ Amir Jamaluddin. Dia mencapai sebatang pen yang terlentang di atas meja. Sehelai kertas kosong dibentang di hadapannya.
“Itu I tahu. Tapi… berapa banyak?” Terkebil-kebil mata Dato’ Amir Jamaluddin menanti penjelasan daripada Kashfullah yang kelihatan tenang.
“Dato’… keuntungan kita kali ini disasarkan tidak kurang daripada RM100 juta. Dan perolehan mampu dicapai seratus-peratus dalam masa yang cukup singkat,” beritahu Kashfullah. Dia mengangguk-angguk, yakin dengan pelunjuran yang telah dibuatnya.
“How long?” Dato’ Amir Jamaluddin membaringkan semula pen ke atas meja. Lelaki itu merasakan yang maklumat itu tidak perlu dicatat.
“Three months…”
Dato’ Amir Jamaluddin dan Kashfullah bertukar pandangan sejenak. Spontan, kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.
“Bertambah panjanglah langkah kita lepas ni!” Dato’ Amir Jamaluddin merenyuk kertas yang terbentang di hadapannya. Dilempar kertas renyuk itu ke mulut tong sampah yang ternganga luas.
“Well… that’s the way it should be!” sahut Kashfullah, girang.
Sejurus kemudian, Dato’ Amir Jamaluddin berhenti ketawa. Dia menarik nafas panjang, seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan. Direnungnya Kashfullah, tepat menjurus ke dalam anak mata. Tergambar betapa seriusnya perkara yang hendak disampaikannya.
“Sekarang, dah tiba masanya. Masa untuk kita bincangkan hal yang lebih penting!” Dato’ Amir Jamaluddin sengaja merenyuk sehelai lagi kertas kosong. Dilempar kertas itu ke mulut tong sampah. Balingan Dato’ Amir Jamaluddin tepat pada sasarannya.
“Hmmm…?” tanya Kashfullah, tidak faham.
“Sesuatu… yang lebih penting.” Dato’ Amir Jamaluddin membalas, merenung Kashfullah.
Renungan Dato’ Amir Jamaluddin bebenar-benar memeningkan kepala Kashfullah.

SETELAH dua kali deringan, telefon diangkat. Kedengaran suara Kashfullah di talian.
“Ha… Linda? Ada apa hal pagi-pagi dah kacau I ni?” usik Kashfullah, ketawanya panjang. Gaya percakapannya begitu mesra. Berlainan sama sekali jika dibandingkan dengan Dato’ Amir Jamaluddin.
“Cool bachelor nak jumpa you sekarang. Urgent matter. Dah tu, siap mengamuk dengan I tadi,” adu Linda menagih simpati. Sebatang pen di dalam cawan kristal segera diambil. Disisip pen itu ke dalam kocek skirt.
Kashfullah merupakan rakan kongsi Dato’ Amir Jamaluddin. Di pejabat, semua orang menggelarnya dengan panggilan Cash. Dia mempunyai raut wajah yang kacak. Disebabkan kekacakan wajahnya, ramai wanita yang telah cuba menggoda lelaki itu.
Kashfullah pula jarang sekali melepaskan peluang. Walaupun begitu, isteri Kashfullah tidak pernah tercium perangai buruk suaminya. Ini kerana apabila di rumah Kashfullah melayani isterinya bak seorang ratu. Pendek kata, pijak semut pun tak mati.
“Berangin betul orang tua tu? Ha… you tahu sebab apa dia panggil I?” tanya Kashfullah, ingin tahu. Tanpa berfikir, Kashfullah menyeluk kocek seluarnya. Dikeluarkan sebilah penyisir rambut. Rambutnya yang tebal dan dilumur perapi rambut disikat beberapa urapan ke belakang.
Semua staf di pejabat itu sudah maklum dengan kebiasaan Dato’ Amir Jamaluddin. Kebiasaannya, Dato’ Amir Jamaluddin tidak suka memulakan perbincangan di awal pagi. Kashfullah mengagak tentu ada perkara yang cukup penting yang hendak dibincangkan rakan kongsinya itu.
“Hmmm… Dato’ tak cakap pulak. Tapi… I rasa mungkin ada kena-mengena dengan projek Bumi Raya,” beritahu Linda sekadar mengagak. Linda masih ingat bagaimana kalutnya Dato’ Amir Jamaluddin meminta fail Bumi Raya Holdings daripadanya tadi.
Kashfullah ketawa lagi. Kali ini, tawanya semakin panjang. Sikat di tangan disimpan semula ke tempatnya.
“Ha… kalau you nak tahu, keuntungan projek tu bakal mencecah RM100 juta. Projek tu usahasama syarikat kita dengan billionaire dari New York yang I beritahu you dulu,” ujar Kashfullah penuh semangat. Dia mengerling jam di tangan. Jika sempat, dia mahu bersarapan dahulu sebelum berjumpa Dato’ Amir Jamaluddin.
“Cash! Apa-apa pun… you datang sini lekas! Dato’ memang betul-betul mengamuk pagi ni!” Linda menggesa tanpa mempedulikan ocehan Kashfullah. Dia tidak mahu dimarahi lagi oleh Dato’ Amir Jamaluddin.
“Kalau macam tu… I datang sekarang. Ingat nak sarapan dulu tapi tak apalah. Tell Dato’ I’m on my way,” pesan Kashfullah dalam senyum. Sengaja dileret suaranya agar kedengaran menggoda.
Sebentar kemudian tawa Kashfullah memecah. Gamat, tetapi amat menyenangkan telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya.
“Okay sayang…” sahut Linda, merengek manja. Tapa sedar, dia melilit wayar gagang telefon ke jari-jemarinya.
“Shhh… bukan kat sini, Linda! Berapa kali I nak beritahu you? Jangan panggil I macam tu di pejabat! Kalau orang tahu, habis kita…” Kashfullah menegur, suaranya lembut. Mata Kashfullah melilau memerhati gelagat warga pejabat yang lain. Hatinya risau jika ada dinding yang bertelinga.
“Ala…” Linda mengeluh di talian. Dia kedengaran seperti sedikit kecewa. Namun, kekecewaan itu segera disembunyikan. Linda tertawa kecil.
“All right. I tak buat lagi. You tak marah, kan?” Linda menyambung tawa kecilnya.
Suara Linda yang manja dan halus membuat hati Kashfullah cair, persis ais krim tanpa peti sejuk.
“Tak…” jawab Kashfullah, mengalah. Dengan mudah, Kashfullah memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh Linda.
“Cash… cepat sikit. Cool bachelor dah marah tu!” tiba-tiba Linda teringat baran Dato’ Amir Jamaluddin sebentar tadi. Linda tidak mahu peristiwa dia dimarahi berulang sekali lagi.
“You pergi beritahu Dato’… I akan sampai dalam masa lima minit.” Kashfullah memberitahu Linda. Dengan gagang telefon masih di telinga, Kashfullah segera bangkit dari tempat duduknya.
Kashfullah memerhati jam yang tergantung di dinding tepat di hadapannya. Sahih, waktu pejabat belum lagi bermula. Dato’ Amir Jamaluddin sudah buang tabiatkah?
“Linda!”
Dari dalam bilik pejabat, kedengaran suara Dato’ Amir Jamaluddin memekik. Panas baran lelaki itu benar-benar tidak terkawal pagi itu. Linda tergamam seketika.
“I have to go. Cepat datang, okay? I rasa kalau you lambat sikit… habis I kena bambu dengan orang tua tu. Please hurry up, okay?” pinta Linda, tergesa-gesa hendak meletakkan gagang telefon.
“I datang sekarang,” beritahu Kashfullah lalu segera meletakkan gagang telefon. Tanpa berlengah Kashfullah memulas tombol pintu lalu keluar dari bilik pejabatnya.

“LINDA… masuk sekejap? Bawakan cepat fail Bumi Raya Holdings. One more thing… panggil Cash, errr… Kashfullah ke mari. Sekarang ya? Dato’ Amir Jamaluddin memberitahu setiausahanya Linda melalui interkom.
Ketika itu, Dato’ Amir Jamaluddin sedang duduk di pejabatnya. Banyak dokumen di atas meja yang perlu disemak segera.
“Baik, Dato’…” jawab Linda, pendek. Dia meletakkan telefon dengan berhati-hati ke gagangnya. Wanita yang kecil molek, bertubuh langsing itu segera mencari apa yang dikehendaki Dato’ Amir Jamaluddin. Dicapainya fail yang terlentang di atas meja sejak seminggu yang lalu.
Linda membetul-betulkan keadaan pakaiannya. Dengan langkah bersahaja dia menghampiri pintu pejabat Dato’ Amir Jamaluddin.
Linda berdehem kecil. Diketuknya pintu yang tertera Pengarah, Garapan Padu.
“Masuk…”
Kedengaran suara Dato’ Amir Jamaluddin dari dalam. Suara itu seperti kurang bertenaga. Seperti ada sesuatu yang mengganggu konsentrasi lelaki itu.
Linda yang sememangnya peka dengan angina Dato’ Amir Jamaluddin, membuka daun pintu dengan berhati-hati. Linda dapat mencium angina Dato’ Amir Jamaluddin yang kurang baik sejak awal pagi lagi. Dengan sopan, dia melangkah masuk.
“Ini failnya, Dato’. Bumi Raya Holdings.” Lambat-lambat Linda bersuara. Tangannya menghulur fail Bumi Raya Holdings itu kepada Dato’ Amir Jamaluddin.
Dato’ Amir Jamaluddin masih duduk di kerusinya. Dia tidak bangkit, malah tidak pula menyambut huluran Linda. Sebaliknya, dia merenung panjang wajah wanita itu.
Kelu lidah Linda direnung sebegitu. Teragak-agak dia meletakkan fail ke atas meja tepat di hadapan Dato’ Amir Jamaluddin.
“Mana buku catatan? Saya nak awak draf surat pada Bumi Raya dan…”
Dato’ Amir Jamaluddin tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Linda memotong secara tiba-tiba.
“Tunggu sekejap, Dato’. Saya pergi ambil buku catatan.” Pantas Linda bersuara. Dia tergesa-gesa beredar keluar untuk mengambil buku yang dimaksudkan.
“Tadi tak suruh bawa buku? Tiba-tiba, nak draf surat pulak. Entah apa-apa orang tua tu. Dah nyanyuk agaknya!” bebel Linda, perlahan. Hatinya geram dimarah seawal pagi.
“Nama aja secretary. Buku catatan pun nak boss yang ingatkan! Cepat sikit. Lembap!” herdik Dato’ Amir Jamaluddin tiba-tiba. Dicabutnya penutup pen di tangan. Penutup pen dibaling ke arah Linda yang masih berdiri di pintu.
Linda terkejut apabila penutup pen itu singgah di kepalanya. Rupa-rupanya Linda berangan-angan dan bebelannya telah kedengaran ke telinga Dato’ Amir Jamaluddin. Wajah Linda berubah kelat.
“Maaf, Dato’. Tapi… tadi Dato’ tak cakap pun?” jawab Linda masih dengan kedegilannya. Dalam keadaan gawat seperti itu pun dia masih cuba mempertahankan diri.
“Awak nak bodohkan saya, ya? Saya belum nyanyuk lagi, kalau itu yang awak fikirkan. Kalau nak terus kerja di sini, mantapkan diri dengan ilmu. Jangan asyik berangan aja!” Dato’ Amir Jamaluddin menjegilkan mata. Nafasnya turun naik dengan cepat.
“Awak ni…” Dato’ Amir Jamaluddin terus membebel kerana tidak dapat mengawal kemarahannya.
Linda pula hanya terkebil-kebil. Kali ini, dia takut untuk menjawab. Dalam keterpaksaan Linda menelan segala hamburan Dato’ Amir Jamaluddin terhadap dirinya.
Akhirnya Dato’ Amir Jamaluddin berhenti membebel. Dia kehabisan modal.
“Maafkan saya, Dato’. Lain kali saya tak buat lagi.” Linda beralah walaupun dia tahu bukan dia yang bersalah. Namun, hatinya tetap berkata-kata. Geramnya terhadap Dato’ Amir Jamaluddin menjadi bertambah tebal.
“Dahlah tu. Pergi ambil buku,” arah Dato’ Amir Jamaluddin tanpa memandang Linda.
“Baik, Dato’.” Sebelum keluar Linda menjeling Dato’ Amir Jamaluddin melalui ekor matanya. Masam mencuka wajah lelaki itu.
Pagi itu, kecut perut Linda dibuat Dato’ Amir Jamaluddin. Di awal pagi lagi lelaki itu telah memarahi Linda kerana tidak membubuh gula ke dalam kopi. Peliknya, sudah sepuluh tahun lelaki itu tidak minum kopi bergula.
Linda termenung sejenak. Dia mengagak tentu ada sesuatu yang mengganggu fikiran majikannya. Linda berharap perangai buruk Dato’ Amir Jamaluddin tidak berlanjutan sepanjang hari. Jika tidak tentu teruk dia terpaksa melayan kerenahnya nanti.
“Apa yang awak tunggu lagi? Cepatlah! Saya berniaga, bukan syarikat charity. Kalau nak termenung ambil M.C. Balik aja ke rumah.” Dato’ Amir Jamaluddin memulakan bebelannya sekali lagi. Geram hatinya melihat Linda tercegat seperti arca di hadapan pintu.
Tersedar dari lamunan, Linda segera keluar. Dia menuju ke meja. Takut membuang masa, dia mencapai buku catatan. Sebelah tangannya mendail nombor sambungan ke bilik pejabat Kashfullah.

“SEMUANYA berjalan lancar, Dato’.” Suara Black kedengaran di telefon bimbit Dato’ Amir Jamaluddin.
Dato’ Amir Jamaluddin memberi isyarat lampu lalu masuk ke bahu jalan. Brek ditekan kuat. Kereta yang dipandu terhenjut sedikit sebelum berhenti.
“Awak perhatikan dia. Jangan bagi dia lari.” Dato’ Amir Jamaluddin memberi arahan. Sisa-sisa kemarahan masih kedengaran dalam buah tutur lelaki itu. Kunci kereta dipulas ke kiri untuk mematikan enjin.
Sepanjang perjalanan ke pejabat, hati Dato’ Amir Jamaluddin tidak senang. Akhirnya dia telah memberhentikan keretanya untuk membuat panggilan kepada Black. Dato’ Amir Jamaluddin mahu mempastikan yang Ismi Safeya tidak membuat hal.
“Dah tentu, Dato’!” balas Black, bersemangat. Memang sejak awal pagi tadi Black tidak berganjak dari halaman rumah. Dia begitu setia mengawal pergerakan Ismi Safeya, sepertimana yang diarahkan oleh Dato’ Amir Jamaluddin. Bangku batu yang didudukinya kini sehangat suhu badannya.
“Hah… dia tengah buat apa?” Dato’ Amir Jamaluddin bertanya, masih tidak puas hati. Jika Ismi Safeya tidak dapat dipersembahkan kepada Bardigo malam nanti, punahlah harapan Dato’ Amir Jamaluddin untuk mentadbir Bumi Raya Holdings.
“Tengah mandi. Rasanya… dia nak keluar, Dato’. Tapi Dato’ jangan risau. Saya janji saya akan awasi dia,” kata Black memberi jaminan. Didongak kepalanya untuk meninjau tingkap bilik tidur Ismi Safeya. Perbuatannya itu seolah-olah dia mahu membuktikan kebenaran kata-katanya.
“Jangan risau, konon! Awak tak ingat semalam… di Megah Jaya? Pia nyaris kena tangkap gara-gara rantai tangan tak guna tu. Awak di mana masa tu!” Dato’ Amir Jamaluddin membentak. Wajahnya mulai berpeluh kepanasan. Perasaan marah Dato’ Amir Jamaluddin tiba-tiba menerjah kembali. Geram sungguh dia apabila memikirkan perkara yang terjadi kepada Ismi Safeya di Megah Jaya.
“Errr… saya janji, Dato’! Benda macam ni takkan berulang lagi. Saya dah pasangkan kamera. Pia takkan dapat buat apa-apa lagi.” Black memberi penjelasan agar Dato’ Amir Jamaluddin tidak terus memarahinya. Black tahu, jika Dato’ Amir Jamaluddin naik darah berbagai kemungkinan boleh berlaku.
“Baik! Sekali ni aja saya bagi awak peluang. Lain kali saya tak mahu dengar lagi benda macam ni berlaku,” komen Dato’ Amir Jamaluddin memberi amaran.
Kini kemarahan Dato’ Amir Jamaluddin reda sedikit setelah mendengar penjelasan daripada Black. Dipandang sofa penumpang di sebelahnya. Terdapat senaskhah akhbar bertarikh semalam yang masih belum dibaca. Dato’ Amir Jamaluddin mengutip akhbar itu.
“Baik, Dato’…” balas Black, pendek. Hatinya lega kerana Dato’ Amir Jamaluddin tidak memarahinya lagi. Justeru itu, Black tidak mahu bercakap panjang. Dia takut sebarang percakapannya akan menimbulkan kemarahan yang lain pula kepada lelaki itu.
“Saya dah lambat. Ingat… jaga Pia baik-baik. Malam ini dia akan jadi penentu pada segala-galanya.” Tegas Dato’ Amir Jamaluddin mengingatkan. Akhbar di tangan dikipas-kipas ke muka. Terasa dingin dan nyaman apabila wajah kepanasan itu dimamah angina.
Black membuka mulut untuk menyatakan kesanggupannya. Namun, Dato’ Amir Jamaluddin telah memutuskan talian. Berfikir dalam diam, Black menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kocek.
“Orang tua tak sedar diri! Rumah kata pergi, kubur pun belum tentu nak terima jasad dia. Itu pun masih tak ingat nak insaf.” Hati Black menggerutu sehingga tanpa sedar bibirnya membebel.
Awal-awal lagi Black telah diberitahu tentang agenda terhadap Ismi Safeya yang telah diaturkan oleh Dato’ Amir Jamaluddin. Black memang arif benar dengan perangai Dato’ Amir Jamaluddin. Majikannya itu sanggup berbuat apa sahaja demi wang.
Menggeleng beberapa kali, Black tersenyum sinis. Lelaki itu mulai lenguh kerana terlalu lama duduk di bangku batu. Dia berjalan lambat-lambat menghampiri pintu rumah.
Black mendengar bunyi tapak kaki dari dalam rumah yang semakin menghampiri pintu. Lantas, lelaki itu bergerak semakin dekat ke hadapan.
Hanya dua orang yang sepatutnya muncul di sebalik daun pintu itu. Sama ada Ismi Safeya atau…
Pintu dibuka dari dalam. Terjengul wajah seorang wanita berdarah kacukan Inggeris dan Cina. Wanita itu berusia dalam lingkungan awal empat puluhan.
“Sandra?” Black menyapa sepatah. Tidak jadi dia meneruskan kata-katanya. Dahinya berkerut melihat riak wajah wanita itu.
Sandra hanya mengangguk. Direnungnya Black tan senyum.
Black membalas renungan Sandra seketika tanpa bersuara. Namun, kedua-duanya seolah-olah mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi. Dari renungan Black, Sandra mampu membaca persoalan yang tersirat di dalam hati lelaki itu.
“Dia nak balik kampung.” Akhirnya Sandra memberitahu Black.
Seperti tahu dirinya disebut-sebut, Ismi Safeya muncul di belakang Sandra. Ismi Safeya kelihatan ayu, lengkap berpakaian baju kurung berwarna ungu lembut. Di bahunya tersangkut sebuah tas tangan kecil.
“Black… boleh ya?” Ismi Safeya meminta simpati. Suaranya perlahan. Dia tahu Sandra pasti telah memberitahu Black niatnya untuk pulang ke kampung.
Mata Ismi Safeya yang bengkak kerana menangis kini dilindungi oleh solekan. Mata itu menanti penuh harap agar permintaannya ditunaikan oleh Black.
Black tidak mengendahkan permintaan Ismi Safeya. Sebaliknya dia merenung gadis itu dari hujung rambut ke hujung kaki. Black akui, Ismi Safeya memang seorang gadis yang cantik.
Rambutnya hitam, lurus dan panjang mencecah ke paras bahu. Matanya bundar, beralis lentik. Bibir mongelnya tambah menggiurkan bila ditambah dengan sapuan gincu berwarna alami.
Pipinya gebu dan keseluruhan wajahnya nampak bersih dan segar dengan solekan sederhana. Sepasang anting-anting kecil di telinga menambah lagi keayuan wajahnya yang berkulit putih kuning.
“Sikit-sikit, balik kampung. Kalau Dato’ tahu, macam mana?” tekan Black. Dua perkara timbul serentak dalam mindanya. Dia tidak tahu yang mana satu harus diutamakan. Perasaan Ismi Safeya, atau kepentingan Dato’ Amir Jamaluddin?
“Tolonglah, Black. Saya nak jumpa mak. Dah lama saya tak balik. Saya rindu pada dia, Black…” pinta Ismi Safeya lagi. Suaranya hiba. Beg kecil yang dibawanya dipegang erat-erat.
“Takkan awak tak ingat? Malam ni… awak ada appointment!” bantah Black, mengerut dahi. Sengaja ditekan suaranya apabila menyebut appointment.
“I know…” Ismi Safeya menjawab perlahan lalu memandang ke bawah. Dia tidak mahu bertentang mata dengan Black. Ismi Safeya takut air matanya terhambur lagi.
“Habis, kenapa nak balik juga?” bentak Black, suaranya keras. Wajahnya dibengiskan. Black tahu dia tidak boleh memberi muka kepada Ismi Safeya.
“Saya nak balik sekejap aja. Saya dah kata tadi… saya nak jumpa mak saya. Takkan itu pun tak boleh!” Entah dari mana, Ismi Safeya mendapat kekuatan untuk membidas kata-kata Black.
Pertemuannya dengan Bardigo yang telah diatur malam itu membuatkan Ismi Safeya benar-benar tertekan. Dia perlukan ibunya pada saat itu.
Tersentap jantung Black mendengar jawapan Ismi Safeya. Black akui, sejak akhir-akhir ini Ismi Safeya semakin berani. Kedegilan Ismi Safeya itu sedikit-sebanyak membimbangkan hati lelaki itu.
Black merenung Ismi Safeya sambil berfikir. Dia menimbang-nimbang sama ada perlu atau tidak untuknya menurut kemahuan Ismi Safeya.
Mungkin pertemuan Ismi Safeya dengan ibunya akan memudahkan tugas Black malam nanti. Biarlah bagai menarik rambut di dalam tepung. Kedua-duanya wajib dikekalkan keharmoniannya. Berdasarkan itu, akhirnya Black mengalah. Dia mengangguk lambat-lambat.
“Boleh. Tapi sekejap aja. Ingat… malam ni penting untuk Dato’,” kata Black, sedikit berlembut. Segera pintu kereta dibuka . Black melabuhkan punggung lalu menghidiupkan enjin.
“Hmmm…” keluh Ismi Safeya, lemah. Dia tidak kuasa hendak berdebat lebih lanjut dengan Black. Dia melangkah menghampiri kereta. Pintu belakang dibuka. Tanpa berlengah, Ismi Safeya masuk. Tas tangan kecilnya diletak rapi di atas paha.
Black mengisyaratkan Sandra supaya turut masuk. Beberapa minit kemudian, kenderaan mewah yang dipandu Black kelihatan beredar menuju ke kampung halaman Ismi Safeya.

KINI keadaan kembali sunyi. Tinggal Ismi Safeya keseorangan terbaring di katil yang sepi bertemankan air mata penderitaan.
Ismi Safeya masih dapat merasa bekas kesakitan akibat renggutan kasar Dato’ Amir Jamaluddin tadi. Walaupun begitu, dia bangun juga dari tempat pembaringannya.
Ismi Safeya menjengah ke luar tingkap bilik tidur. Gadis itu nampak dengan jelas siapa yang berada di halaman rumah.
Black, pengawal peribadi yang setia masih tidak berganjak daripada mengawasi Ismi Safeya. Ismi Safeya mengeluh. Sama juga keadaannya semalam semasa di pasaraya Megah Jaya. Black langsung tidak memberi sebarang kesempatan kepadanya.
Jauh di sudut hati, Ismi Safeya sentiasa ingin lari dari situ. Namun tiada apa yang dapat dilakukannya. Ismi Safeya tidak pernah berjaya melepaskan diri daripada genggaman Dato’ Amir Jamaluddin. Black terlalu setia kepada lelaki itu. Itulah masalahnya.
Ismi Safeya termenung di birai tingkap. Sepuluh minit berlalu sepi. Lama-kelamaan, Ismi Safeya mulai bosan. Nasibnya tidak akan berubah walaupun dia berdiri di situ selama sepuluh tahun. Mungkin sesuatu yang drastik diperlukan untuk berubah…
Ismi Safeya mencapai tuala mandi yang tergantung di hujung katil. Dia membalut tubuhnya dengan tuala sebelum menanggalkan pakaian tidur. Fabrik yang lembut dan licin itu begitu mudah lepas daripada tubuhnya.
Longlai, Ismi Safeya berjalan menuju ke bilik mandi. Dia membuka pancuran air panas. Perlahan-lahan, Ismi Safeya menarik tirai lalu menyelubungi dirinya di bawah pancuran air panas yang nyaman.

“BIADAB!”

“BIADAB!” Dato’ Amir Jamaluddin merentap hujung kolar baju tidur Ismi Safeya dengan tangan kanannya. Jari-jemari tangan kirinya pula diregang lebar, lalu dijatuhkan ke atas ubun-ubun kepala gadis itu. Rambut yang terdapat di situ diramas sekuat hati.
Ismi Safeya tidak sempat mengelak. Dato’ Amir Jamaluddin semakin kuat merenggut akar rambutnya. Dari posisi baring Ismi Safeya terpaksa bangkit. Bibirnya mrnyeringai menahan kesakitan yang amat sangat.
“You idiot!” Ismi Safeya menjerit apabila kesakitan itu semakin menyengat ubun-ubun kepalanya yang berkulit nipis.
Dato’ Amir Jamaluddin hanya tersenyum sinis. Dengan tangan masih di kepala Ismi Safeya, dia membongkok ke arah cuping telinga gadis itu. Dato’ Amir Jamaluddin membisikkan sesuatu yang membuat bulu roma Ismi Safeya meremang.
“Dengar sini. You tentu tak suka merengkok dalam penjara dan dilabel sebagai penjenayah,. kan? Atau… mungkin you lebih suka tinggal di hospital bahagia sampai mati?”
Dato’ Amir Jamaluddin menguatkan rentapan di ubun-ubun Ismi Safeya. Berpinar pandangan gadis itu buat seketika.
“Kalau Daddy nak, sekarang juga Daddy boleh buat hidup you menderita.” Dato’ Amir Jamaluddin merapatkan mukanya ke wajah pucat Ismi Safeya.
“Daddy ramai kawan. Semuanya berpengaruh. Semuanya mata duitan. Mereka akan buat apa saja demi wang…”
Mata mereka bertentangan. Ismi Safeya tewas. Anak mata dilarikan.
“Selagi you ikut cara Daddy, you selamat. Jangan sampai Daddy naik bosan dengan you!” bentak Dato’ Amir Jamaluddin, keras. Dilepaskan rentapan pada ubun-ubun kepala Ismi Safeya dengan kasar. Pada genggaman Dato’ Amir Jamaluddin terdapat beberapa helai rambut gugur.
Ismi Safeya mengalirkan air mata. Batinnya meratap, menangis penuh hiba. Ismi Safeya menutup matanya seketika. Dia akui, mahu tidak mahu dia terpaksa akur dengan kemahuan Dato’ Amir Jamaluddin.
Dato’ Amir Jamaluddin tidak mempedulikan kesakitan yang dialami Ismi Safeya. Jika kesakitan berupaya menundukkan gadis itu, itulah yang akan dilakukan oleh lelaki itu.
“Daddy mahu you layan Bardigo dengan first-class service! Daddy dah aturkan untuk dia datang ke sini tepat jam lapan malam ni. Jangan buat perangai. Don’t upset him. Faham!” jerkah Dato’ Amir Jamaluddin. Ditolaknya Ismi Safeya sehingga terlentang di atas katil.
Ismi Safeya mengetap bibir dan membisu seribu bahasa. Kini bahasa yang menemani dirinya hanyalah sedu-sedan. Hendak mengadu, tiada bahu yang boleh dijadikan tempat untuknya menopang dagu.
Ketika itulah perasaan rindu Ismi Safeya terhadap kampung halaman terbit begitu mendalam. Perasaan itu tamah melukakan hatinya yang hancur robek.
“Your dress… ada pada Sandra. Lagi satu, jangan lupa. Pakai rantai berlian yang akan diberi Sandra nanti. Rantai tu hadiah dari Bardigo.” Satu-persatu Dato’ Amir Jamaluddin meluahkan kata-kata. Tapak tangannya dikibas-kibas. Helaian rambut Ismi Safeya yang terlekat pada tapak tangannya seolah-olah sesuatu yang menjijikkan.
“Bardigo akan bawa you bermalam dengannya di Hotel Hallway. Remember… you’re under observation. Jangan fikir you boleh lepas lari ke mana-mana.” Tersenyum sinis, Dato’ Amir Jamaluddin memandang Ismi Safeya yang terlentang di atas katil.
Ismi Safeya diam. Tiada langsung hasrat di hatinya untuk berbicara waktu itu. Dalam esak yang tertahan-tahan, Ismi Safeya mengusap ubun-ubunnya. Terasa pedih dan hangat kulit kepalanya apabila disentuh.
Dato’ Amir Jamaluddin beredar. Dia meninggalkan Ismi Safeya dalam keadaan termampan dan tidak mampu bersuara.
Pintu bilik tidur dihempas Dato’ Amir Jamaluddin dengan kasar. Kedengaran bunyi hentakan tapak kaki lelaki itu bergema sehingga ke ruang tamu menuju tangaa untuk ke tingkat bawah banglo dua tingkat itu.
Sebentar kemudian, bunyi enjin kereta kedengaran mengaum di perkarangan banglo. Lama-kelamaan bunyi enjin kereta semakin jauh dan semakin perlahan, kemudian terus hilang.

“PIA… DADDY nak pergi ni,”  ucap Dato’ Amir Jamaluddin, memandang Ismi Safeya yang berbaring di atas katil di bilik tidurnya.

            Pagi itu seperti kebiasaannya, Dato’ Amir Jamaluddin akan ke pejabat.  Sambil berdiri, lelaki itu menguis dahi Ismi Safeya dengan hujung jari.

            Dato’ Amir Jamaluddin ialah seorang ahli korporat berjaya yang mempunyai syarikat pembekalan barangan kontraktor.  Berstatus bujang, badannya masih tegap walaupun usianya telah menjangkau separuh abad.

            Dengan ketinggian
lima kaki sembilan inci dan berkulit sawo matang, Dato’ Amir Jamaluddin digelar cool bachelor di kalangan rakan-rakan.

            Dia berbangga dengan gelaran itu.  Namun, tiada siapa pernah memberitahunya yang panggilan itu merupakan sindiran.  Sikap Dato’ Amir Jamaluddin yang panas baran dan gelojoh menimbulkan banyak masalah di kalangan rakan-rakannya.

            Walaupun begitu, Dato’ Amir Jamaluddin agak popular di kalangan wanita.  Perutnya yang boroi dikatakan menjadi daya penarik, walaupun semua rakan-rakannya tahu poket kembungnya yang menjadi idaman wanita-wanita itu.

            Namun begitu, masyarakat umum hanya mengetahui perkara yang baik mengenai Dato’ Amir Jamaluddin.  Lelaki itu cukup bijak menyembunyikan rahsia kehidupan peribadinya.

            “Pia… bangun!  I’m already late.”

            Dato’ Amir Jamaluddin duduk di birai katil.  Dia memerhati Ismi Safeya yang kelihatan masih lena di pembaringan.

            Lelaki itu merenung kelopak mata Ismi Safeya yang tertutup rapat.  Dengusan perlahan berbaur jengkel lahir dari rongga hidungnya.

            Dato’ Amir Jamaluddin tahu, Ismi Safeya sengaja mencari alasan untuk menyakitkan hatinya.  Sejak akhir-akhir ini, gadis itu sering menimbulkan masalah.

            Dato’ Amir Jamaluddin merapatkan duduknya.  Dengan hati sebal, digoncangnya bahu Ismi Safeya berulang-kali.  Mahu atau tidak, gadis itu harus bangun. 
Ada sesuatu yang ingin dimaklumkan lelaki itu.

            “Pia… bangun!”  Keras Dato’ Amir Jamaluddin membentak.  Dadanya mulai berombak deras, menahan gejolak emosi barannya.

            Perlahan-lahan, Ismi Safeya mengalih posisi pembaringan.  Dengan mata yang masih tertutup, dia meregangkan kedua belah tangannya ke atas.  Dia menggeliat sepuasnya.

            Lambat-lambat Ismi Safeya membuka mata.  Dia tahu tahap kesabaran Dato’ Amir Jamaluddin sedang di tahap kritikal.  Namun, gadis itu puas.  Hatinya senang melihat lelaki itu sengsara menahan marah.

            Spontan Ismi Safeya menghadiahkan sebuah senyuman kemenangan.  Dia tahu, senyuman itu tidak mungkin dapat ditafsirkan oleh Dato’ Amir Jamaluddin.

            Melihat Ismi Safeya tersnyum, kemarahan Dato’ Amir Jamaluddin reda.  Sekurang-kurangnya kali ini dia berpendapat egonya terselamat.  Merendah diri dan bersabar adalah perkara yang tidak pernah tercatat dalam diari kehidupannya.

            Dato’ Amir Jamaluddin membalas senyuman Ismi Safeya dengan manis sekali.  Kepalanya diangguk perlahan.

            Senyuman manis dari Dato’ Amir Jamaluddin membuat tekak Ismi Safeya merasa loya.  Ismi Safeya telah lama mengenali hati budi lelaki korporat itu.  Bukan lumrah Dato’ Amir Jamaluddin untuk memberikan senyuman sebegitu jika tiada tujuan tertentu.

            Ismi Safeya arif benar tentu ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Dato’ Amir Jamaluddin.  Pastinya ia sesuatu yang menggembirakan lelaki itu.  Namun, belum tentu ianya akan membahagiakan gadis itu.

           
Ada apa, Dato’?”  Ismi Safeya bersuara sinis.  Dicapainya tuala lembap di hujung katil.  Dia mengelap wajahnya yang agak berminyak.

            “Berapa kali Daddy nak cakap?  Panggil Daddy, bukan Dato’!”  Dato’ Amir Jamaluddin membetulkan kesilapan Ismi Safeya tanpa mengendahkan sindiran di sebalik panggilan itu.  Tangan lelaki itu dimasukkan ke dalam kocek.

            Ismi Safeya mendengus.  Hati kecilnya cukup meluat melihat wajah lelaki di hadapannya itu.  Tanpa mengendahkan Dato’ Amir Jamaluddin, Ismi Safeya menggantung tuala muka di hujung katil.

            Ismi Safeya masih tidak mengendahkan Dato’ Amir Jamaluddin.  Dia mengambil berus rambut dari meja kecil di sisi katil.  Bersahaja, gadis itu memberus rambutnya.

            Ha… hari ni Daddy akan jumpa dengan seseorang.  Dia tu somebody!  Public figure…”  beritahu Dato’ Amir Jamaluddin, suaranya girang.  Dikeluarkan tangannya dari kocek seluar lalu berdiri.  Dibetul-betulkan pakaiannya yang sedikit berkedut di bahagian punggung.

            So… what?  Apa kena-mengenanya dengan I?”  Ismi Safeya merengus apabila mendengar kata-kata Dato’ Amir Jamaluddin.

            Ismi Safeya langsung tidak berminat untuk mengetahui siapa yang Dato’ Amir Jamaluddin maksudkan istimewa itu.  Dihempas berus rambut ke atas meja kecil tadi.  Ismi Safeya berpeluk tubuh, membelakangi Dato’ Amir Jamaluddin.

            “Pia… come on!  Please be sporting.  Daddy tahu… kali ni you mesti suka dengar cakap Daddy.”  Dato’ Amir Jamaluddin memanjangkan leretan senyumannya.  Dia menghampiri meja solek.  Ditatap wajahnya yang tersnyum di cermin.

            “Tak semestinya!  Lagipun, setiap kali you buat macam ni, I tahu apa yang akan terjadi.  You ingat I bodoh?”  tingkah Ismi Safeya lalu berpaling menghadap Dato’ Amir Jamaluddin.

            Ismi Safeya melurut rambutnya ke belakang lalu diikat dengan getah rambut.  Matanya yang bundar merenung tajam wajah Dato’ Amir Jamaluddin.

            Dato’ Amir Jamaluddin melorotkan pandangannya ke arah lain apabila direnung begitu.  Beberapak saat berlalu sepi…

            “Betul!  Kali ni Daddy tak bohong.  You mesti suka.  I promise!”  balas Dato’ Amir Jamaluddin, masih tidak mengalah.  Selagi Ismi Safeya berkata tidak, selagi itulah Dato’ Amir Jamaluddin akan terus memaksa.

            Ismi Safeya merenung Dato’ Amir Jamaluddin cukup lama.  Anak matanya dipenuhi cahaya amarah yang mampu melunturkan semangat sesiapa sahaja.

            Namun, cahaya kemarahan itu tidak mampu bertahan lama.  Sedikit demi sedikit ianya luntur menjadi cahaya suram.  Sesuram hatinya yang tleah lama kecewa…

            Ismi Safeya akui, dirinya sudah hampir putus asa.  Dia sudah penat bertegang urat dengan Dato’ Amir Jamaluddin.  Dia sedar, dirinya umpama mentimun.  Digelek hancur, menggelek pun hancur…

            “Ikut suka hati youlah.  Apa yang you nak, Daddy?”  balas Ismi Safeya, mengalah.  Dia sengaja menekan suara apabila menyebut Daddy.

            Ha… macam tu
kan bagus?  Daddy… hmmm… Daddy.  Daddy likes you calling Daddy that way.  Sedap bunyinya,”  ujar Dato’ Amir Jamaluddin dengan senyuman kemenangan terpamer bangga di sudut bibir.

            Ismi Safeya meluat tidak teringga dengan senyuman itu.  Bencinya bertambah-tambah terhadap Dato’ Amir Jamaluddin.  Ismi Safeya mengetap bibirnya rapat-rapat, mengunci sebarang kata-kata.  Bantal peluk di sisinya, diramas sekuat tenaga.  Hatinya panas.

            Melihat Ismi Safeya tidak berkata apa-apa, Dato’ Amir Jamaluddin dengan senang hati menyambung percakapannya.  Senyumnya kini meleret lebar.

            Hmmm… Daddy hopes you will listen clearly.  Hari ini cukup penting buat Daddy.  Daddy ada lunch appointment dengan Bardigo, hartawan dari
New York.”

            “Dia Melayu, single… now permanently an American.  Lama dia menetap di
New York.  Syarikatnya di
sana pun banyak.”

            Dato’ Amir Jamaluddin duduk semula di birai katil.  Dia tidak meneruskan kata-katanya.  Dia mahu Ismi Safeya benar-benar mendengar apa yang bakal disampaikannya.

            “Ismi Safeya…”  tegur Dato’ Amir Jamaluddin, menggunakan nama penuh gadis itu.  Hatinya jengkel apabila Ismi Safeya tidak menumpukan perhatian.  Jari telunjukanya diangkat tinggi, seolah-olah konduktor yang sedang mengemudi kumpulan orkestranya.

            I can hear you!”  tingkah Ismi Safeya, sakit hati.  Dia rimas dikongkong begitu.

            “Ismi Safeya… he is a billionaire!  Inilah peluang Daddy.  Daddy tak boleh gagal…”  bisik Dato’ Amir Jamaluddin.  Renungannya jauh ke hadapan.

            Ah!  Peduli apa I?  That’s not my problem!”  Ismi Safeya meninggikan suara.  Sakit hatinya bertambah.  Dia berengsot ke tepi katil.  Menjauhkan diri daripada Dato’ Amir Jamaluddin.

            Kakinya dibiarkan terjuntai ke bawah.  Marah bercampur geram, kesal, dan seribu macam perasaan menerjah minda Ismi Safeya.

            Dato’ Amir Jamaluddin bangkit.  Perlahan-lahan, dia menghampiri Ismi Safeya.  Dato’ Amir Jamaluddin duduk di sisi Ismi Safeya.  Mulutnya dirapatkan ke telinga gadis itu. 
Ada sesuatu yang ingin dibisikkannya.

            “Bardigo nak buka syarikat baru di sini.  Dia nak cari orang yang boleh diharap untuk jaga syarikatnya.  Daddy bukan tak layak, malah lebih daripada layak.  Tapi…  Bardigo ramai kawan.  Tan Sri, Dato’ Seri… berlambak-lambak!  Jadi, Daddy mesti pancing Bardigo dengan umpan yang bagus.  Daddy tahu apa kegemaran dia.”

            Dato’ Amir Jamaluddin melangkah ke dinding.  Di dinding itu tergantung sekeping potret wajah Ismi Safeya.  Dato’ Amir Jamaluddin mengetuk permukaan potret itu dengan tulang sendi jari telunjuknya.

            He likes pretty girls… just like you, Ismi Safeya…”

            “Kurang ajar!”  Ismi Safeya bangun daripada duduk lalu bersemuka dengan Dato’ Amir Jamaluddin.  Ismi Safeya tidak dapat menahan kemarahannya.  Dia mengangkat tangan kanannya tinggi.  Lelaki itu memang patut menerima sebuah tamparan.

            Belum sempat tangan Ismi Safeya singgah di pipi Dato’ Amir Jamaluddin, tangan itu telah direntap dengan kuat.  Tanpa memandang ke wajah Ismi Safeya, Dato’ Amir Jamaluddin memusing tangan gadis itu ke belakang.

            Arghh!!”

            Jeritan kesakitan terlepas dari Ismi Safeya.  Dia
cuba melepaskan tangannya, namun tidak berjaya.

            “Syarat dah ditetapkan.  You mesti tolong Daddy, Pia.  Inilah masanya untuk you balas budi.”  Kali ini Dato’ Amir Jamaluddin memandang tepat ke anak mata Ismi Safeya.  Tangan Ismi Safeya digenggam kuat.  Tiada lagi senyuman meleret pada wajah lelaki itu.

            Lidah Ismi Safeya menjadi kelu dengan tatapan membunuh Dato’ Amir Jamaluddin.  Entah mengapa, Ismi Safeya begitu cepat menyerah kalah.  Pasrah.  Itulah yang diduga, dan itulah hakikat sebenarnya.

            Ismi Safeya mengeluh kecewa.  Sejak akhir-akhir ini kebuntuan sering menjadi teman setia hidupnya.

            “Lepaskan I!”  sekonyong-konyong, kemarahan kembali menguasai diri Ismi Safeya.  Mungkin kesakitan yang semakin menyengat memaksa gadis itu untuk mempertahankan diri.

            Dato’ Amir Jamaluddin melepaskan tangan Ismi Safeya.  Diangkat kedua belah tangannya dengan tapak tangan menghala ke arah gadis itu.  Lagak Dato’ Amir Jamaluddin seolah-olah mahu memberitahu dirinya tidak bersalah.

            Ismi Safeya mengurut tangannya yang kemerahan.  Sisa-sisa kesakitan masih kuat terasa.  Namun dipaksa dirinya bersemuka dengan Dato’ Amir Jamaluddin.

            I dah muak melayan kawan-kawan you.  I muak!  Sampai bila you nak buat I macam ni?  Sampai bila!”  Ismi Safeya melempiaskan marahnya.  Dia benar-benar tertekan.  Air mata yang ingin tumpah ditahan sedaya-upaya.

            Dato’ Amir Jamaluddin melurut rambutnya sekali dua.  Kedua-dua tangan yang melurut rambut itu kelihatan sedikit bergetar.

            “Ismi Safeya…”

            Nada suara Dato’ Amir Jamaluddin berubah.  Ismi Safeya faham benar dengan perubahan suara itu.  Tidak lain tidak bukan ianya merupakan suatu amaran.

            Ismi Safeya sudah lali dengan semua itu.  Apa yang akan berlaku, gadis itu sudah dapat menjangkanya.

            I tak peduli lagi!  Selama ni… I ikutkan aja segala kemahuan you.  You paksa I panggil you Daddy.  Konon… depan semua orang I anak angkat kesayangan you.  Di belakang, you jadikan I perempuan simpanan.  You lacurkan I.”

            “Ramai orang kata kononnya I bertuah.  Orang cemburu sebab kononnya I anak manja.  Tapi di sebalik semua kemewahan mana mereka tahu derita hati I?  Apa gunanya kemewahan kalau hati ini tak pernah merasa erti bahagia!”

            Ismi Safeya merebahkan badannya ke atas katil.  Dia menangis semahunya.  Biarlah Dato’ Amir Jamaluddin mengugut, memeukul atau apa sahaja.  Ismi Safeya sanggup menghadapinya.

            Hati Ismi Safeya benar-benar mahu memberontak.  Dia mahu mengakhiri penderitaan yang dialaminya selama ini.  Dia mahu keluar dari syurga ciptaan Dato’ Amir Jamaluddin yang tak ubah bagai neraka buat dirinya.

TANPA menoleh ke belakang, Ismi Safeya terus berlari… dan berlari. Hanya setelah dia merasa cukup selamat, baru gadis itu memperlahankan lariannya.
Beberapa minit berlalu. Kini, Ismi Safeya sudah berada di luar pasaraya. Nafasnya lelah. Dia berhenti seketika di hujung tangga pasaraya.
Dinding tinggi penyokong anak tangga dijadikan tempat berselindung. Dalam termengah-mengah, dia menghela nafas lega. Walau penat, perancangannya ternyata membuahkan kejayaan.
Ismi Safeya merenung walkie-talkie yang masih dipegangnya. Dikeluarkannya bateri walkie-talkie tersebut.
Perlahan-lahan, gadis itu menghampiri sebuah tong sampah besar yang terletak di tepi dinding. Walkie-talkie berserta bateri dicampak terus ke mulut tong sampah.
“Aku berjaya…” Ismi Safeya berbisik riang. Diperhatikannya beberapa orang yang lalu-lalang di hadapannya.
Ismi Safeya tersenyum. Rantai tangan idaman kini telah menjadi miliknya. Dengan lembut, Ismi Safeya menepuk beg yang tersandang di bahu. Gadis itu tersenyum lagi, puas. Dia benar-benar gembira.
Namun kegembiraan Ismi Safeya tidak bertahan lama. Belum puas dia berehat, dari jauh dia nampak sebuah kereta mewah yang cukup dikenali menjuju ke arahnya.
Emosi Ismi Safeya serta-merta diselubungi kehampaan…
Dengan selamba kereta mewah yang dilihat Ismi Safeya dipandu masuk ke dalam kawasan pejalan kaki. Kereta itu diberhentikan tepat di hadapan Ismi Safeya. Tidak sampai dua saat, daun pintu terbuka.
Di tempat duduk pemandu seorang lelaki berketurunan India sedang memaut stereng dengan tangan kanan. Tangan kirinya menggenggam kemas pada tombol gear.
“Cepat!” Wajah lelaki India itu bengis. Dia menyergah agar Ismi Safeya segera masuk.
Ismi Safeya memandang lemah ke arah lelaki India itu. Dia tahu perangai lelaki itu. Selagi dia belum masuk ke dalam kereta, pintu itu akan kekal terbuka.
Terpaksa, Ismi Safeya masuk ke dalam. Dia melabuhkan punggungnya ke atas kerusi kenderaan yang sememangnya selesa. Pintu kereta ditutup keras.
“Awak jangan buat perangai! Nanti… awak yang susah!” kata lelaki India itu. Suaranya tegang. Nadanya mengugut.
“Ah… jangan merepek, Black. Jalan aja. Lepas ni balik terus. I’m tired…” tingkah Ismi Safeya. Suaranya tiada semangat. Dia bosan mendengar jerit-pekik lelaki yang bernama Black itu.
Black memerhati Ismi Safeya melalui cermin pandang belakang. Direnungnya wajah gadis itu yang kepenatan.
“Cakap tu… biar baik sikit! Ingat… awak tu siapa?” balas Black, menggertak lagi.
“Maaf…” Dalam keterpaksaan, Ismi Safeya mengucap kata-kata itu. Dia tahu, tiada gunanya bertegang urat dengan Black. Lambat-laun Ismi Safeya terpaksa mengalah juga dengan lelaki itu.
Black diam. Dia memecut kenderaan dan tenggelam bersama-sama ribuan kenderaan lain yang membanjiri jalan raya di Bandar yang padat berpenghuni itu.

“HARUN! Nanti! Ada lagi… saya belum habis cakap!” jerit Ismi Safeya. Dia cuba untuk tidak mengendahkan pengawal yang nampaknya seperti hendak menghampirinya.
Mujur ketika itu ada pelanggan lain yang menghampiri pintu keluar. Pengawal itu berpatah balik.
“Harun!!”
Hampir pecah anak tekaknya menjerit begitu. Namun, usahanya itu berjaya membuat Harun berpatah balik. Ismi Safeya mengurut dada, lega.
“Mira suruh awak pergi jumpa dia dengan kawan awak sekali. Penting ni, jangan main-main!” ucap Ismi Safeya, tegas. Bibit-bibit peluh cemas mulai terbit dari celahan anak rambutnya. Jarinya dituding ke arah rakan setugas Harun.
Harun merenung rakannya. Dahinya berkerut. Kemudian dia memandang Ismi Safeya. Ternyata ada persoalan dalam benaknya.
“Benda ni antara hidup dengan mati! Lebih baik awak ikut aja cakap saya,” sambung Ismi Safeya. Dia semakin cemas. Beg di tangan dipeluk erat.
“Habis… kerja saya macam mana? Tak boleh tinggal macam tu aja!” protes Harun tiba-tiba. Suaranya kedengaran berbelah-bahagi. Dia bercekak pinggang memandang rakannya.
Ismi Safeya tersenyum lega. Mujur Harun tidak sebijak yang disangka.
“Ala… saya gantilah kejap,” Ismi Safeya segera menawarkan diri. Bagai mengantuk disorongkan bantal. Inilah peluang yang dinanti-nantikan gadis itu dari tadi.
“Betul? Boleh percaya ke ni?” tanya Harun, keberatan. Tangannya yang bercekak pinggang diturunkan lambat-lambat.
“Pergi aja cepat. Nanti kalau saya ubah fikiran… padan muka!” sindir Ismi Safeya. Dilemparkannya senyuman tipis. Dalam kesempatan itu, direnungnya wajah Harun seolah-olah menghalaunya pergi dengan segera.
Harun terdiam sebentar. Mungkin dia menimbang kata-kata . akhirnya Harun mengangguk. Dia menggamit rakan setugas.
“Wahid… kejap!” Harun memanggil. Tangannya kembali bercekak pinggang.
Rakan setugasnya yang bernama Wahid itu baru sahaja selesai memeriksa beg seorang pelanggan. Bergegas dia datang setelah dipanggil Harun.
Dahi Wahid berpeluh-peluh. Tugasnya masih belum selesai. Dari jauh kelihatan beberapa orang pelanggan sedang bergerak menghampiri pintu keluar Megah Jaya.
“Ada apa? Kau tak nampak orang tengah ramai?” bebel Wahid. Matanya menjurus pada pelanggan yang semakin menghampiri pintu keluar.
“Ikut aku sekejap? Tinggalkan walkie-talkie kat perempuan ni. Dia ganti kita,” beritahu Harun tanpa mempedulikan bebelan Wahid.
“Siapa budak ni? Sedap kau aja suruh orang ganti kerja kita…” komen Wahid tanpa beralas kata. Dipandang Ismi Safeya dari atas ke bawah.
“Apa nak takut? Cik adik ni kawan Mira. Takkan kau tak kenal Mira?” jamin Harun.
Wahid mendiamkan diri. Dia merasa keberatan untuk meninggalkan tugasnya kepada org yang tidak dikenali. Jika berlaku sesuatu, dia juga yang terpaksa menanggung akibatnya.
“Ah… cepatlah! Kau ni… terhegeh-hegeh! Buang masa betul. Kalau kita pergi cepat… kita boleh balik cepat! Buat apa nak fakir banyak-banyak?” rungut Harun. Hatinya ralat dengan keraguan Wahid.
Wahid tidak sempat untuk berkata apa-apa. Dengan selamba, Harun merembat walkie-talkie di tangan Wahid. Diserahkannya walkie-talkie itu kepada Ismi Safeya. Tanpa bersuara, Harun menarik lengan Wahid.
Kerana terpaksa, Wahid menurut. Ismi Safeya ditinggalkan dengan walkie-talkie di tangannya.
Gadis itu membelek walkie-talkie dalam genggamannya. Kemudian dia mengangkat kepala. Diperhatikannya kedua-dua pengawal itu. Semakin lama mereka berdua semakin jauh meninggalkan dirinya.
Ismi Safeya menahan nafas. Dadanya berdebar-debar.
“Satu… dua… sekarang!” Ismi Safeya menjerit dalam hati. Dia memandang buat kali terakhir ke arah butik sebelum berundur perlahan-lahan. Walkie-talkie digenggam erat.
Pelangan yang berpusu-pusu keluar, diperendahkannya. Ismi Safeya berlari pantas melalui pintu keluar Megah Jaya.

“ERRR… awak buat apa tu?”  Ismi Safeya mengambil kesempatan bertanya kepada Harun.  Sebuah beg pelanggan berada dalam tangan lelaki itu.

            Habis perut beg itu diseluk Harun.  Segala zip dan poket beg turut dibuka dan diperiksa.  Tidak ketingalan, tubuh pelanggan itu diperiksa sama.

            “Itulah… Ah Moi kat Kedai Emas Phoo Lian tu!  Dia telefon saya, menangis-nangis.  Katanya, rantai tangan pada display rack dah hilang,”  beritahu Harun, menerangkan.

            Laaa… awak ni.  Orang tanya dia, dia tanya orang balik.  Cakaplah!  Apa yang Mira beritahu awak?” jerkah Harun keras apabila dia tersedar seperti dipermainkan oleh Ismi Safeya.

            Ismi Safeya terkedu sebentar.  Namun, segera dia menjawab pertanyaan Harun.

            Errr… dia tak cakap pulak.  Tapi… bila tengok dia saya kesian!  Muka dia nampak pucat.  Saya rasa… elok awak pergi jumpa dia.  Entah-entah dia sakit.”

            Ismi Safeya melepaskan nafas pendek.  Hatinya cemas menanti reaksi Harun.  Jika lelaki itu tidak mempercayainya, apa yang harus Ismi Safeya lakukan?

            Mendengar kata-kata Ismi Safeya, wajah Harun berubah.  Spontan dia bergegas menghala ke butik tempat Mira bekerja.  Dibiarkannya Ismi Safeya tercegat di situ.

            Ismi Safeya terpinga-pinga.  Tidak disangka, Harun akan berlalu begitu sahaja.  Pengawal yang seorang lagi mula meninjau Ismi Safeya dan beg di tangannya.

            Ismi Safeya naik panik.  Dipaksa dirinya untuk bertenang.

“LET’S MAKE a move…!” Ismi Safeya membakar semangat dalam dadanya. Masa untuk bersembunyi sudah berakhir. Kini tiba masa untuk bertindak. Ismi Safeya berdiri. Kakinya digoyang-goyang. Kebas yang baru mula terasa, beransur hilang.
Ismi Safeya bergegas keluar dari butik. Dengan penuh yakin, dia melangkah ke pintu keluar. Dua orang pengawal tadi sedang sibuk memeriksa beg pelanggan yang ingin keluar dari Megah Jaya.
Ismi Safeya menghampiri kedua-dua pengawal itu. Dari jarak tiga meter, Ismi Safeya dapat melihat tanda nama salah seorang daripada pengawal tersebut.
Check!
Jika bermain catur, pasti Ismi Safeya menang. Hati gadis itu menjerit gembira. Ternyata tekaannya tepat. Salah seorang pengawal itu bernama Harun. Ismi Safeya hampir pasti lelaki itulah yang dimaksudkan oleh Mira. Bibir Ismi Safeya tersenyum lebar.
Perlahan-lahan, Ismi Safeya menghampiri Harun.
“Hmmph…!”
Ismi Safeya buat-buat tersedak. Tujuannya, untuk menarik perhatian Harun. Usaha Ismi Safeya ternyata tidak sia-sia. Nampaknya perhatian Harun teralih sebentar. Ismi Safeya tersenyum sumbing apabila Harun berpaling dan memandang ke arahnya.
“Awak… Harun?” tanya Ismi Safeya. Dia buat-buat mengingat. Hujung jari telunjuk diletak di bawah dagu. Lagaknya seolah-olah seorang kawan lama yang baru kini bertemu semula.
“Kalau bukan, buat apa saya pakai name tag ni?” sergah Harun, marah. Wajahnya masam kepenatan. Dahinya berkerut. Dia cuba mengingat siapakah gadis yang berdiri di hadapannya itu. Keletihan Harun bertambah melihat wajah Ismi Safeya yang tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Eleh… cerita awak dengan Mira dah heboh satu supermarket, awak tahu? Hari-hari kami cerita pasal awak,” kata Ismi Safeya selamba. Bibirnya dimuncungkan.
“Hoi! Apa awak merepek ni? Cakap biar betul sikit. Dah gila ke?” bentak Harun. Wajahnya bertambah masam. Nampak benar dia tidak senang dengan kata-kata Ismi Safeya.
Ismi Safeya sedikit cemas. Dia khuatir jika dia tersilap orang. Namun untuk berpatah balik sudah terlambat. Mahu tidak mahu Ismi Safeya harus meneruskan juga rancangannya.
“I’m still sober, okay? Awak tu yang gila. Gila bayang!” balas Ismi Safeya, sengaja menguatkan suaranya. Dia buat-buat ketawa menyindir. Dikerlingnya Harun dengan pandangan yang tajam.
Telinga Harun berubah merah. Sememangnya dia seorang yang panas baran. Harun merentap tangan Ismi Safeya ke tepi.
“Cakap tu… baik-baik sikit! Mana awak dengar semua ni?” bisik Harun, rapat ke telinga Ismi Safeya. Giginya diketap rapat-rapat.
Ismi Safeya dapat mendengar dengan jelas bunyi gigi Harun yang bergetap-getap. Kecut perut Ismi Safeya dibuatnya. Dengan perlahan, Ismi Safeya menelan air liur.
“Errr… janganlah macam ni. Malu saya. Sebenarnya Mira yang suruh datang. Dia paksa… eh… suruh… beritahu awak satu perkara,” balas Ismi Safeya, juga dalam keadaan berbisik.
Anehnya, suara yang terpancut keluar kedengaran sungguh ikhlas. Hampir tidak percaya Ismi Safeya mendengar suaranya sendiri. Berbakat juga kau, fikirnya.
“Beritahu apa?” Harun menyoal, masih dalam nada membentak. Ditatapnya wajah Ismi Safeya dengan mata yang sengaja dijegilkan.
Sekali lagi Ismi Safeya meneguk air liur. Naik sejuk hujung jari tangan Ismi Safeya merenung sepasang mata terjegil itu.
“Mira nak jumpa awak. Katanya dia nak jumpa sekarang. Dia cakap… urgent! Kalau awak tak datang, habislah. Dia tak nak jumpa awak lagi lepas ni.” Lancar sungguh lidah Ismi Safeya menyusun ayat-ayat yang satu pun tiada kebenarannya.
“Dia tak cakap pasal apa?” Drastik nada suara Harun bertukar menjadi rendah.
Check-mate!
Mendengar nada suara Harun berubah, hati Ismi Safeya melonjak gembira. Percaturannya menang. Memang sah, dia adalah Harun yang dimaksudkan Mira.

“YANG MANA?” Tertinjau-tinjau Emi melihat ke luar butik. Puas dia mencari siapa yang dimaksudkan Mira.
“Yang tengah berdiri kat pintu keluar tu…” sebut Mira. Muncungnya tambah panjang ke hadapan, menunjuk ke arah pintu keluar. Terjengah-jengah Emi memanjangkan leher melihat orang yang dimaksudkan.
“Oooh… Harun yang itu? Tentulah kenal. Yang selalu datang sini tu kan?”
“Ha’ah… tahu pun kau. Sebenarnya dialah masalah aku. Kau tahu tidak? Dia ada hati kat aku!” luah Mira seperti memuntahkan sesuatu yang berat dari dalam perutnya. Syiling-syiling satu sen dalam genggaman dimasukkan ke dalam slotnya.
“Alahai… itu masalahnya? Kalau dia suka kat kau eloklah tu!” usik Emi, mengerut keningnya. Di bibirnya terukir senyuman yang mempunyai makna tersirat.
“Hish… kau ni. Pandai-pandai aja. Dia yang suka kat aku. Aku tak suka, tahu!” tingkah Mira tiba-tiba marah. Longgokan syiling lima-lima sen yang masih berselerakan diperendahkan.
“Ala… janganlah marah. Aku gurau aja. Apa kata kau beritahu dia perkara yang sebenarnya? Habis cerita!” hambur Emi. Pada Emi, masalah itu cukup mudah. Tak ubah umpama mengunyah kacang.
Mira memandang Emi. Mukanya masam. Terpaksa dia menyambung semula tugasannya. Duit-duit lima sen dikutip satu-persatu.
“Kau ni… tak faham langsung! Takkan aku nak pergi pada dia, lepas tu cakap aku tak suka dia? Gila!” Begitu pantas Mira tidak setuju dengan cadangan Emi. Walaupun Mira tidak sedikit pun menyukai Harun, dia tidak sampai hati untuk melukakan hatinya. Lelaki itu ada perasaan juga.
“Habis, kau nak buat macam mana? Kau nak jumpa dia? Cakap I love you, gitu? Lagi gila…” ejek Emi. Dijelir lidahnya kepada Mira. Pada Emi, berterus-terang itu lebih mudah. Tidak memeningkan kepala.
Mira menumbuk perlahan namun penuh geram pada lengan Emi. Terpelanting sekeping dua syiling lima sen daripada genggamannya.
“Menyampah betul bila bercakap dengan kau. Taklah sampai kena cakap I love you! Dah melampau tu! Cuma aku takut dia anggap aku berlagak. Kerja tak seberapa, tapi jual mahal…” jawab Mira mempertahankan diri. Syiling yang terpelanting tadi dikutip semula.
Ismi Safeya yang kepenatan kini bertinggung. Dia tidak perlu menunggu lagi. Bibirnya tersenyum lebar. Di dalam mindanya, sudah tergambar sebuah lakaran idea yang bakal dilaksanakannya sebentar lagi.

“ALA… apa pulak tu? Habislah aku!” bisik Ismi Safeya, mengecilkan mata. Gundah-gulanya tiba-tiba menjadi menggelabah.
Berdekatan pintu keluar Megah Jaya, Ismi Safeya dapat melihat dengan jelas dua orang pengawal keselamatan. Kedua-duanya sedang bertugas. Seorang daripada mereka sedang berkomunikasi menerusi walkie-talkie.
Dengan walkie-talkie di telinga, pengawal itu berlari-lari anak. Dia mengangguk-angguk. Tangannya menggamit rakan setugas.
Rakan yang dipanggil segera datang. Mereka kelihatan berbincang sesama sendiri. Riak wajah mereka serius.
“Macam mana ni?” Melihat gerak-geri pengawal, momentum denyutan jantung Ismi Safeya berganda. Nalurinya terdetik mengatakan perbuatan buruknya mencuri rantai tangan tadi telah terbongkar.
“Macam mana nak keluar ni? Dibuatnya kena tangkap, naya aja. Tak pun…”
Ismi Safeya tidak menghabiskan kata-katanya. Segera dia mematikan niat untuk keluar. Ismi Safeya tertinjau-tinjau sekeliling, melihat tempat yang sesuai.
Bersembunyi adalah alternatif yang pertama terbit dari lubuk mindanya.
“Ha… kedai baju! Bolehlah.”
Ismi Safeya mengalih arah ke sebuah butik. Butik itu terletak seratus lima puluh meter dari pintu keluar Megah Jaya.
Sambil berjalan, gadis itu melirik tajam. Gerak-geri pengawal diperhati dengan ekor mata. Mereka kelihatan seperti memperkatakan sesuatu.
“Hish… macam mana ni?” decit Ismi Safeya, mempercepatkan langkahnya. Melihat perbualan kedua-dua pengawal, hatinya menjadi kecut.
Di pintu masuk butik, dia melihat dua orang jurujual di kaunter bayaran. Tanpa mempedulikan mereka, Ismi Safeya terus masuk. Perlahan-lahan dia menghampiri seorang pelanggan wanita berbadan gempal.
Ismi Safeya melirik pada wanita itu. Dilihatnya, wanita itu sedang memilih pakaian. Dia berdiri di sebelah wanita itu.
Lambat-lambat Ismi Safeya membelek beberapa pakaian dan melihat tanda harganya. Dengan berbuat begitu, sekurang-kurangnya hati gadis itu lega seketika.
Kedua-dua jurujual itu hanya menoleh sebentar, kemudian meneruskan perbualan. Kehadiran Ismi Safeya tidak menarik perhatian mereka. Dia dilihat sebagai seorang lagi manusia tidak berduit yang datang hanya untuk memeriahkan suasana butik itu.
Kini Ismi Safeya merasa selamat kerana tiada siapa yang mempedulikan kehadirannya. Dia mengambil keputusan menjengah keluar.
Kedua-dua pengawal dilihat mengambil tempat di pintu keluar Megah Jaya. Mereka mula memeriksa tubuh dan beg setiap orang yang keluar.
Ismi Safeya menjadi kalut. Dia tahu, pengwal itu tidak mungkin akan mencarinya di butik. Namun, keresahan yang melanda mencabarnya untuk melakukan sesuatu di luar keberaniannya.
Gadis itu memandang sekeliling. Dia ternampak beberapa rak pakaian yang agak tinggi. Kelam-kabut, rak pakaian dihampiri. Sementara mencari idea dia mahu bersembunyi dahulu di belakang rak-rak itu.
“Hah… nasib baik! Aku dah agak. Pengawal tu dah tahu. Hai… cepat betul dia orang buat kerja. Nasib baik aku sempat elak!” serkap jarang Ismi Safeya. Terbongkok-bongkok dia menyorok di belakang rak itu.
“Mira! Aku tengok, dua tiga minggu ni… kau asyik menung aja?”
Terkejut, Ismi Safeya menoleh. Gadis jurujual tadi sedang duduk di hadapan rak, bersebelahan kaunter. Dia menyusun stok.
Ismi Safeya membaca tanda nama yang tersemat di dada gadis itu. Emi namanya. Sekotak penuh baju-baju panas berlonggok di hadapan Emi.
Ismi Safeya mengerling ke sebelah. Seorang lagi gadis sedang duduk di kaunter. Dari tanda namanya Ismi Safeya mendapat tahu nama gadis itu Mira. Mira sedang mengira wang kecil untuk dimasukkan ke dalam mesin kira. Bersepah-sepah syiling di atas meja kaunter.
“Ala… Emi. Aku risaukan Jebat kat rumah. Masa aku nak keluar tadi, dia muntah lagi,” luah Mira tiba-tiba. Duit syiling sepuluh-sepuluh sen disusun pada slotnya.
“Laaa… kau menung-menung ni pasal Jebat ke? Hmmm… janganlah risau sangat! Kucing kau tu dah ditakdirkan sakit. Nak buat macam mana lagi?” kata Emi, cuba mendiplomasi Mira yang muncung bagai burung belatuk.
Sehelai baju panas diangkat Emi. Baju itu dibentang di atas paha. Bahagian belakang baju menghadap ke atas. Kedua-dua lengan baju dilipat sama lebar ke tengah.
Mira tersenyum hambar, memandang dengan tidak bermaya ke wajah Emi. Jari-jemarinya memungut lambat-lambat syiling satu sen yang berselerakan di meja kaunter.
“Entahlah. Mungkin… bukan pasal Jebat, kot…” luah Mira, hampir berbisik. Bahu diangkat.
Emi mengerutkan kening, tidak faham dengan apa yang diucapkan Mira. Hujung baju panas dilipat satu jengkal ke dalam. Kemudian, baju dilipat dua. Emi membetul-betulkan lipatannya agar kemas. Lipatan bawah dan atas baju harus sama panjang dan lebar.
“Lain macam aja bunyi cakap kau, Mira? Kau pun… sakit ke?” duga Emi. Dia risau dengan luahan kata-kata Mira sebentar tadi. Direnungnya Mira dari hujung rambut ke hujung kasut. Baju panas di paha, dialih ke rak.
Mira tergelak kecil. Tersentuh hati kecilnya dengan serkap jarang Emi. Duit-duit satu sen itu dimain-main dalam genggamannya.
“Nak kata sakit, tak sakit. Nak kata tak sakit… sakit sebenarnya. Kau tahu tidak? Yang sakit… hati aku ni!” tekan Mira. Nada suara Mira, menggambarkan seolah-olah dia memendam rasa.
“Hati kau sakit? Kau sakit hati dengan siapa? Dengan… aku?” tanya Emi, kaget. Dia bangkit, berdiri di hadapan Mira. Emi khuatir dia ada terlepas kata, lalu tanpa sedar dia telah melukakan hati Mira.
“Hish… tak adalah.” Mira menepuk lembut bahu Emi. Senyuman mesra dihadiahkan.
“Habis tu?”
“Aku tension, Emi. Tak tahu pada siapa aku nak luahkan. Tapi bila aku pendam makin lama perkara ni makin besar. Makin parah. Takut aku dibuatnya.” Mira mengeluh kecil. Dipandang Emi sejenak, kemudian merenung tangannya yang menggenggam syiling.
“Masalah apa ni? Kau ceritalah. Mana tahu aku boleh tolong?” cadang Emi. Kotak berisi baju-baju panas ditolak ke tepi. Dibiarkan kotak yang sudah separuh penuh itu ternganga.
“Hmmm… kalau aku cerita, jangan bagi tahu orang lain, okay? Aku malu,” beritahu Mira terus-terang. Dia tidak mahu sesiapa tahu tentang masalah yang dihadapinya. Ia takut diejek oleh rakan-rakan yang tidak memahami.
“Eh… tak adalah! Aku takkan cerita. Aku janji. Rahsia ni hanya antara aku dan kau aja. Aku akan simpan semuanya. Betul!” kata Emi memberi jaminan. Dipandang wajah Mira dalam-dalam, agar Mira percaya kepadanya.
Mira mengangguk tanda percaya. Dia memang tahu Emi tidak pernah mungkir janji. Kerana itu, Mira berani membuka lembaran rahsianya kepada Emi.
“Aku rasa… kau pun kenal dengan Harun. Budak pengawal tu,” kata Mira lambat-lambat. Kepalanya didongak. Dimuncung bibirnya ke hadapan, ke arah pintu keluar Megah Jaya.
Pengawal?
Ismi Safeya jadi berminat apabila mendengar perkataan pengawal disebut. Tidak sabar dia menanti bait-bait seterusnya daripada mulut Mira.

ISMI SAFEYA sudah lama berdiri, menanti. Pengunjung Pasaraya Megah Jaya yang lalu-lalang, langsung tidak dipedulikan gadis itu. Gelagat jurujual di Kedai Emas Phoo Lian terus diperhati. Wanita berbangsa Cina itu sibuk melayan pelanggan yang memenuhi kedai.
Ismi Safeya masih berdiri di muka pintu, berselindung di belakang susunan kotak-kotak kosong yang mahu dibuang pemilik kedai. Gadis itu tahu, dia harus mengekalkan jaraknya. Tujuan kehadirannya tidak boleh disedari oleh sesiapa.
“Buat apa tu, Kak Long?”
“Huh?” Terkejut, desahan kecil lahir dari mulut Ismi Safeya. Jantungnya berdegup laju. Perlahan-lahan, dia menoleh ke arah suara yang menyapa.
Dua orang remaja lelaki sedang melewati tempat itu. Mata mereka mengenyit nakal, namun langkah mereka diteruskan.
Ismi Safeya menarik muka masam. Dia mendengus, garang. Dijegilkan mata kea rah kedua-dua remaja itu.
“Alamak… garangnya! Jom, blah cepat. Takut aku!” Salah seorang remaja itu mengusik sebelum berlalu pergi. Berderai-derai tawa mereka.
Semakin lama tawa mereka semakin perlahan. Tenggelam timbul dibawa angina pendingin hawa.
“Hah!” Geram, Ismi Safeya mendengus perlahan. Dia menanti sehingga kedua-dua remaja itu hilang dari pandangan.
Ismi Safeya maklum, mereka hanya suka-suka mengusik. Justeru, kehadiran mereka tidak sedikitpun melunturkan niatnya.
Ismi Safeya memandang semula ke hadapan. Kini, dia menumpukan sepenuh perhatian. Perkara seperti itu bukan hari-hari berlaku. Tersalah langkah negative padahnya.
“Hish… geramnya aku! Kalau aku dapat, memang best!” bisik Ismi Safeya perlahan. Dari jauh, direnung barang kemas yang sudah lama jadi idamannya.
Rantai tangan emas sembilan satu enam, dua puluh empat karat terbentang indah di rak. Rantai itu seperti melambai-lambai, merembat tangkai hatinya.
“Line clear, mesti boleh ni. Aku tak kira! Aku mesti dapatkan benda tu hari ni juga. Kalau tak, putih mata aku…” bisik Ismi Safeya lagi. Keazamannya jitu.
Sekali-sekala diperhatikannya gelagat jurujual. Nampaknya wanita itu begitu sibuk melayan pelanggan, sehingga kehadiran Ismi Safeya di situ sedikitpun tidak disedari.
Lama Ismi Safeya telah mengidam untuk memiliki rantai tangan itu. Ironisnya, ada-ada sahaja perkara yang menjadi penghalang. Namun, hari itu gerak hati gadis itu luar biasa. Dia yakin hari itu hari bertuah. Rantai tangan itu akan menjadi miliknya.
“It’s now or never!”
Menjerit hati kecil Ismi Safeya. Matanya memandang ke segenap ruang. Dilihatnya, tiada seorang pun yang mempedulikan kehadirannya di situ.
Ismi Safeya tidak berlengah lagi. Perlahan-lahan, dia menapak ke dalam kedai. Rak berisi rantai tangan dihampiri penuh hati-hati.
Tangan gadis itu kini sejuk bagai air batu. Namun dipaksa dirinya menyeluk ke dalam rak.
Dicekup rantai tangan itu penuh hati-hati. Dengan sebelah tangan lagi dia meraba beg sandang yang dibawa. Zip dicari.
“Hish!”
Berdecit mulut Ismi Safeya apabila zip beg sandang belakang yang cuba dibuka, tersangkut. Menggigil tangan gadis itu.
Perlahan-lahan zip ditarik semula ke belakang. Kemudian, kembali ke hadapan. Mujur berjaya.
“Perfect!”
Bisikan lega lahir dari bibir Ismi Safeya. Disusurnya rantai tangan ke dalam mulut beg sandang yang terbuka. Rantai tangan tenggelam ke dasar beg.
Ismi Safeya menutup zip beg. Diangkat kepalanya sebentar. Gerak-geri jurujual itu, tetap diawasi.
Mata Ismi Safeya melilau lagi. Namun, keadaan seperti biasa. Tiada siapa perasan apa yang telah berlaku.
“Akhirnya dapat juga aku benda ni. Hmmm… rasa macam Willie Sutton pulak,” bisik Ismi Safeya, melepaskan tawa yang tertahan-tahan. Entah mengapa dia terkenangkan Willie Sutton, perompak yang amat terkenal dalam sejarah FBI di New York.
“Willie Sutton suka menyamar. Aku… tak suka. Ah! Tak kisahlah. Licik, dah ada. Tinggal nama samaran dia aja aku tak tahu nak pilih mana satu. The Actor, atau Slick Willie?” bisik hati Ismi Safeya. Sempat dia membuat kelakar, memujuk hatinya yang cemas.
Ismi Safeya cuba bertenang. Dia dapat merasakan kejayaan pasti akan berada dalam tangannya. Namun, dia harus berhati-hati. Selagi dia masih berada di dalam pasaraya, selagi itu dia belum selamat.
“I must get out now…” Hati Ismi Safeya berbisik lagi. Gadis itu cuba mempamerkan wajah selamba. Dengan penuh waspada, dia mengatur langkah keluar dari kedai emas.
Dua tiga langkah diambil sebelum Ismi Safeya menoleh ke belakang.
Jurujual kedai emas masih tidak perasan apa yang telah berlaku. Ismi Safeya tertawa perlahan. Mulutnya ditutup dengan tangan.
Perlahan-lahan, Ismi Safeya meninggalkan kedai emas itu. Setapak demi setapak diangkat…
“Hish! Apa kuat sangat bunyi kasut aku ni? Lecehlah…” Ismi Safeya membebel seorang diri, melayan perasaannya yang masih kelam-kabut.
Dia merasakan bunyi tapak kasutnya bagaikan gegaran langkah gergasi. Bunyi itu seolah-olah menghentak ke bumi, terlalu kuat dan membingitkan telinga.
Debaran jantungnya pula seolah-olah bom nuclear yang meledak berulang-ulang. Menerjah pancainderanya yang masih siuman.
Lama-kelamaan, halusinasi Ismi Safeya semakin berkurangan apabila langkahnya semakin jauh meninggalkan kedai emas itu. Yang tinggal hanya jantungnya yang masih berdebar-debar.
Sepuluh minit yang berlalu dikira detik demi detik. Cemas yang melanda membuatkan gadis itu tidak berani menyinggah ke mana-mana. Ismi Safeya mahu segera keluar dari pasaraya Megah Jaya.
“Sikit lagi. Come on, girl! You can do it…” bisik Ismi Safeya, meneruskan langkahnya menuju ke pintu keluar Megah Jaya.
Ismi Safeya menetapkan pandangannya ke pintu keluar. Hanya tinggal beberapa puluh meter sahaja lagi. Langkah terus disusun, satu demi satu…
Alamak!
Langkah Ismi Safeya terhenti. Jantungnya kembali berdenyut keras. Suatu kekecohan sedang berlaku di hadapan matanya.
Gundah-gulana hati Ismi Safeya jadinya.

Nama indah milik gadis itu seindah wajahnya. Kesucian hatinya setulus dan seputih salju. Mengundang rasa sayang pada insan-insan yang mengenalinya. Menggamit rasa rindu pada jejaka-jejaka yang memandangnya. Kemelut kehidupan sesungguhnya maha kejam. Rahsia yang diperam Ismi Safeya hakikatnya begitu mengaibkan. Memilukan. Menyiksakan. Rahsia yang membuat diri si gadis menderita lebih sedekad. Ya… dia seorang perempuan simpanan. Yang bukan hanya disimpan sang hartawan, malah dilacurkan siang dan malam. Ah… di mana harus diletakkan harga diri ini? Masih adakah ruang keampunan Illahi untuk si gadis yang begitu lama disaluti kekotoran hina-dina ini?